Isnin, 6 Jun 2016

Pelukis 'Najib badut' mengaku tak salah, mohon dibicara

 
 
Aktivis yang juga pereka di sebalik lukisan 'Najib bermuka badut' hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Fahmi Reza, pencipta karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan muka badut itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, antara lain "dengan niat untuk menyakiti perasaan orang lain" dengan menyiarkan gambar berkenaan dalam akaun Instagram beliau.

Kes itu didengar di hadapan Majistret Mohd Zulbahrin Zainuddin. Fahmi mengaku tidak bersalah dan dibenar diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin

Syahredzan Johan dan Melissa Sasidaran mewakili Fahmi.

Memakai pakaian punk hitam dan bertopi, Fahmi juga membawa bersama lukisan Najib bermuka badut itu, dengan slogan 'Dalam negara yang penuh dengan korupsi, kita semua pengasut'.

Beliau dijangka dibawa ke Mahkamah Sesyen di Ipoh Jumaat ini (10 Jun) bagi pertuduhan kedua iaitu menyiarkan amaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) secara parodi dalam akaun Facebooknya.

Tiada ulasan: