Selasa, 7 Jun 2016

Pekerja KTMB didakwa maki hamun, tunjuk punggung kepada OKU

 
KTMB juga didakwa tidak prihatin dengan keperluan OKU kerana tidak membaiki tandas khas OKU yang rosak untuk sekian lama.


OKU KTM


RAWANG: Seramai 20 orang kelainan upaya (OKU) yang diketuai Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) mengadakan protes di Stesen KTM Rawang susulan dakwaan layanan biadap daripada seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semalam.

Mereka turut mendakwa KTMB tidak prihatin dengan keperluan OKU kerana tidak membaiki tandas khas OKU yang rosak untuk sekian lama.

Peniaga, M Murugan mendakwa tandas OKU di stesen KTM tersebut telah disalahgunakan untuk dijadikan stor oleh penjaga tandas.

“Selepas mendapati tandas OKU berkunci semalam, saya meminta kunci daripada penjaga. Beliau keberatan untuk beri kunci dan berkata tandas rosak.

“Selepas didesak berulang kali, dia memberikan kunci dan apabila saya buka pintu, penuh barang-barang dalam tandas itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau yang menjual hasil kraftangan dan menjadikan komuter sebagai pengangkutan utama setiap hari mendakwa, masalah ini sudah lama berlaku dan pihak pengurusan seolah-olah tidak mengendahkannya.

Kekecohan hampir tercetus apabila pegawai KTMB menghalang mereka mengadakan protes di platform, gara-gara perang mulut antara Setiausaha ILTC, Gurdip Kaur dan pegawai tersebut.

Gurdip yang bergegas ke stesen KTM itu semalam selepas dihubungi Murugan mendakwa, penjaga tandas tersebut memaki hamun serta menunjukkan isyarat lucah kepada mereka.

“Kita minta kunci berkali-kali. Akhirnya dia berlalu pergi sambil tunjukkan punggungnya ke arah kami,” katanya lagi.

Presiden ILTC, G Francis Siva berkata, insiden itu tidak seharusnya berlaku kepada golongan OKU yang hanya mahu dilayan sebagai warga Malaysia bermaruah.

“Anda bercakap tentang inklusif…kami hanya mahu hidup normal. Kerajaan perlu melihat isu OKU melalui aspek hak (OKU), bukan belas kasihan semata-mata,” katanya sambil menambah akan membawa isu kemudahan OKU di Stesen KTM Rawang kepada Kementerian Pengangkutan.

Wakil Persatuan Amal Khairat Kematian KTM yang mendapat kontrak menguruskan tandas OKU di stesen itu, Nur Azni Ibrahim memohon maaf kepada golongan itu dan berjanji peristiwa seumpama itu tidak akan berulang.

“Itu sahaja yang boleh saya cakap. Saya akan pastikan ia tidak berulang dan pantau pekerja yang terlibat,” katanya yang hadir sebaik sidang media berakhir.

Beliau berkata, kos membaiki tandas OKU amat tinggi dan mereka tidak mempunyai dana secukupnya serta proses permohonan peruntukan daripada pihak pengurusan KTMB memakan masa yang lama.

Tiada ulasan: