KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk menghapuskan Pilihan Raya
Kecil (PRK) walaupun terdapat pihak yang berpendapat ia tidak relevan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said
berkata PRK amat penting kerana masyarakat memerlukan wakil rakyat untuk
meneruskan kesinambungan khidmat seseorang wakil rakyat sama ada yang
telah meninggal dunia atau letak jawatan.
"PRK ini diadakan berikutan sesuatu situasi yang tidak boleh dielak.
Perlembagaan juga mengatakan PRK harus diadakan bagi mencari pengganti
seorang wakil rakyat. Jadi, saya rasa tidak wajar kalau PRK dihapuskan, "
katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Suhaimi
Abdullah yang berpendapat PRK disalahgunakan dan meminta penjelasan sama
ada ia masih lagi relevan.
Dalam pada itu, Azalina juga berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
setakat ini berpuas hati dengan had perbelanjaan pilihan raya di negara
ini kerana ia masih relevan dan tidak perlu sebarang kajian bagi
mengubahnya.
Beliau menjelaskan had perbelanjaan yang ditetapkan adalah RM200,000 bagi PRK Parlimen dan RM100,000 bagi PRK Negeri.
Katanya, menurut Seksyen 19, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,
perbelanjaan yang dihadkan adalah merujuk kepada calon dan bukan kepada
parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) dan ia tidak membebankan
sesiapa yang bertanding.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan