Khamis, 16 Jun 2016

Perkasa mahkamah syariah 'buka jalan' pelaksanaan hukuman Islam - MAPIM

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yakin bahawa Rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda kuasa Mahkamah Syariah membuka jalan pelaksanaan hukuman Islam di Malaysia. 
 
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid juga berpendapat pindaan itu yang dibawa ke Dewan Rakyat pada penghujung Mei lalu dapat meluaskan lagi pelaksanaan undang-undang syariah, yang dilihat terbatas pada ketika ini.
 
"Maka dengan pindaan yang dicadang ini untuk meningkatkan taraf dan bidang kuasa mahkamah syariah. Ia dilihat sebagai asas awal untuk buka ruang memungkinkan enakmen-enakmen di peringkat negeri boleh dilaksanakan
 
"Apabila bidang mahkamah syariah dibatasi di peringkat persekutuan, maka sebarang enakmen yang hendak diusulkan di peringkat negeri akan terhalang. 
 
"Banyak enakmen-enakmen pentadbiran agama Islam di negeri-negeri terhalang untuk buat pindaan supaya undang-undang berkaitan syariah dan jenayah tak dapat dilaksanakan,' katanya menerusi temubual bersama Antarapos, hari ini.
 
Sehingga ke hari ini, segala bidang kuasa mahkamah syariah tidak boleh digugat oleh bidang kuasa mahkamah sivil, sebagaimana yang tertakluk di dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.
 
Namun begitu, masih ada beberapa batasan yang menyebabkan undang-undang Islam, sebagaimana yang dibawa dalam enakmen negeri-negeri tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
 
Mohd Azmi mengulas perkembangan semasa membabitkan tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang pada 26 Mei lalu membentangkan RUU Persendirian, bertujuan meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
 
Dalam usul tersebut menyebut bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam, dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
 
Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, yang menyebut bahawa dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2A, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan-kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.
 
Bukan Islam tak perlu bimbang
 
Mohd Azmi juga melihat langkah yang diambil parti Islam itu tidak mendatangkan masalah atau menjejaskan mana-mana kepentingan individu, termasuk kaum dan agama di negara ini.
 
"Apa yang dilakukan Hadi adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan perlembangaan negara dan prosedur parlimen itu sendiri," terangnya. 
 
Meskipun RUU persendirian itu menerima kritikan dan persoalan daripada pelbagai pihak, MAPIM yakin usaha untuk memberi penerangan kepada masyarakat, terutamanya yang bukan Islam akan membantu mereka membezakan tujuan memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah tidak ada kena mengena dengan pelaksanaan hudud.
 
"Yang dibentang itu tidak menjurus khusus untuk hudud walaupun pindaan yang dicadang itu mungkin ada kesempatan supaya hudud dilaksanakan. Namun ternyata dalam pembentangan RUU itu tidak menyatakan secara khusus, sebaliknya menekan keada soal bidang kuasa mahkamah syariah.
 
"Masyarakat perlu memahami dan menghargai undang-undang syariah dan hidup bersyariat sebagai tuntutan terhadap setiap orang Islam. Maka dengan aktiviti sebegini, apabila timbulnya isu RUU ini, kita akan beri kefahaman menyeluruh kepada masyarakat bahawa syariat sebagai sistem hidup kita dan cuba berikan penerangan mengapa RUU boleh beri kesan kepada pelaksanaan undang-undang syariah," katanya lagi

Tiada ulasan: