Rabu, 15 Jun 2016

Ismail kata Mat Sabu 'otak DAP'

MALAYSIAKINI


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu sebagai tokoh "berotak DAP" kerana membuat tuduhan ke atas Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Kata Ismail Sabri, sejak sekian lama MARA banyak berjasa dan membantu usahawan Melayu namun tetap menjadi kritikan Mohamad.

Malah, Ismail Sabri berkata segala usaha murni kerajaan membela nasib Melayu-Bumiputera kini telah terbukti.

“Mat Sabu (panggilan untuk Mohamad) ‘otak DAP’ apabila (dia) kata MARA pelingkup Melayu.

"Hari ini MARA sudah melahirkan satu juta usahawan dari kalangan Melayu melalui pinjaman, latihan dan sebagainya.

“Begitu juga dari segi (pendidikan) kita adakan MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) dan UiTM, lulusan 100 peratus orang Melayu dan sekarang itu sudah satu juta lebih pelajar yang kita telah lahirkan.

"Dan 30 peratus daripada tenaga kerja yang ada di negara kita bekas pelajar MARA," kata Ismail ketika berucap dalam program ramah mesra pemimpin bersama peserta Felcra Berhad di Sayong, Kuala Kangsar hari ini.

Ismail Sabri juga berkatakerajaan sudah terbukti berjaya membantu dan membangunkan masyarakat di luar bandar,

Mat Sabu ketika berucap dalam salah satu siri ceramahnya di Kuala Kangsar mendakwa MARA sebagai "pelingkup Melayu".

Namun, tidak dapat dipastikan apakah alasan beliau berkata demikian.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri kemudian mempersoalkan apa yang dilakukan pembangkang untuk masyarakat negara ini.

“Kita tengok apa yang dibuat pembangkang? Tidak ada apa. Tengok apa yang dilakukan pembangkang di Selangor?

"Selangor negeri kaya macam-macam boleh buat untuk orang Melayu dan bumiputera (tetapi apa) yang dibuat hanyalah berceramah setiap malam memfitnah kita dan sebagainya,” kata Ismail Sabri.

Terdahulu beliau menyampaikan agihan keuntungan interim kepada peserta Felcra Perak.

Jumlah keuntungan Perak mencatatkan kadar tertinggi di seluruh Malaysia iaitu hampir RM20.34 juta yang diagihkan kepada hampir 16,000 peserta.


Tiada ulasan: