Rabu, 15 Jun 2016

Apabila Kit Siang berbaju jingga...

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
 

INI bukan kali pertama DAP berkoalisi. Namun sebelum ini,  parti itu tidak pernah turun berkempen sampai ke tahap pemimpinnya termasuk supremo Lim Kit Siang memakai baju lambang parti lain.

Di Sungai Besar, apa yang tidak pernah berlaku ini, telahpun berlaku. Selama berkoalisi dengan Semangat 46 dalam Gagasan Rakyat pada penghujung 1980an hingga pertengahan 1990an, Kit Siang tidak pernah begitu.

Bukan Kit Siang sahaja, Ku Li juga tidak pernah pakai baju berlambang roket, atau bulan purnama sedangkan pakatan Semangat 46 dengan Pas di bawah payung Angkatan Perpaduan Ummah (APU) ketika itu begitu akrab dan cemerlang.

Dalam BN pun begitu juga. Bolehkah kita bayangkan Liow Tiong Lai memakai baju yang ada logo keris Umno turun berkempen di Bentong pada musim pilihan raya? Atas mauduk apa sekalipun, hal yang seperti ini tidak mungkin berlaku.

Mengapa? Sebabnya mereka adalah pemimpin politik. Sebagai pemimpin, mereka bertanggungjawab ke atas parti yang mempunyai ribuan ahli dan penyokong.

Sebagai pemimpin, tindak- tanduk mereka harus berpaksi prinsip, bukan hanya prinsip diri tetapi juga prinsip parti. Dalam politik juga, kita biasa dengar orang berkata, tidak ada kawan yang kekal, tidak ada lawan yang kekal. Apa yang kekal hanyalah kepentingan.

Begitu juga sikap orang politik dalam menangani persahabatan, ada satu frasa menarik untuk menerangkannya iaitu ‘the enemy of my enemy is my friend’.

Ertinya, orang politik boleh bersekutu untuk menentang musuh yang sama namun itu bukan bermakna mereka harus berpegang pada prinsip atau matlamat perjuangan yang sama. Dalam persamaan, mereka ada perbezaan dan perbezaan itu haruslah sentiasa dilitupi kewaspadaan dan kecurigaan.

Dalam keadaan itu, hubungan mereka harus berlandas hukum-hakam yang tersirat. Justeru, persahabatan yang seperti itu ada had dan batasannya.  Seseorang ahli politik terutama yang berkoalisi harus menangani situasi ini secara matang dan bijaksana.

Ini kerana persahabatan dalam politik tidak sama dengan di luar. Persahabatan politik akan sentiasa berpusar hanya di satu titik temu yang bernama kepentingan.

Kalau kita toleh ke Sungai Besar, dan nampak Kit Siang dan  pemimpin-pemimpin DAP yang lain memakai baju jingga berlogo Amanah, apa yang boleh kita perkatakan mengenai mereka?

Apakah itu persahabatan atau semata-mata kepentingan? Berlakunya hal yang seperti itu hanya disebabkan mereka menyasarkan musuh yang sama. Kedua-dua DAP dan Amanah sama-sama menyimpan dendam kesumat yang begitu mendalam terhadap Pas.

Itulah teras (bukan trust) persahabatan mereka selain masing-masing ada kepentingan yang tersendiri dalam saling mempergunakan satu sama lain.

Sebenarnya adalah cukup sensitif jika mahu dikira akan kesan seseorang pemimpin parti politik memakai baju parti lain. Ia bukan sekadar pakaian tetapi juga maruah. Maruah pihak yang memakai dan juga pihak yang baju partinya dipakai.

Dalam hubungan politik, walau bagaimana mesra sekalipun, batasan dan sempadannya masih tetap diperlukan. Seseorang pemimpin akan dinilai rendah jika memakai baju parti lain.

Itulah maruah,  imej dan cerminan karisma yang perlu ada pada dirinya sebagai pemimpin politik.
Manakala di pihak yang satu lagi pula, kehormatan baginya adalah apa yang menjadi simbol parti tidak harus dipakai sewenang-wenangnya oleh orang yang bukan ahli kerana simbol membawa imej, ideologi dan arah tuju perjuangan.

Di Sungai Besar, hal-hal yang seperti itu sudah tidak diambil kira, sudah jadi cacamerba. Apa yang berlaku sekadar memperlihatkan Amanah bagi DAP hanya seperti boneka.

Meskipun calon yang bertanding adalah daripada Amanah namun dominasi DAP memperlihatkan seperti calon parti itu yang  diletakkan bertanding.

Ini menimbulkan persoalan kepada kita, di mana kedudukan dan ketegasan Amanah sebagai sebuah parti politik Islam? Apa yang boleh dibuktikan oleh pemimpin parti itu di hadapan khalayak terutama ahli akar umbinya jika begitu parti mereka dibiarkan dikuasai, ditentukan dan ditunjuk arah oleh pihak luar?

Bagaimana pemimpin-pemimpin Melayu/Islam dalam Amanah pada suatu masa yang diperlukan kelak, akan boleh bangun berdiri tegak, bertegas mempertahankan hak dan prinsip jika ketika berkempen untuk PRK ini sahaja pun mereka seperti sudah dicucuk hidung dan ditarik telinga?

Hal-hal yang seperti itu bukanlah mustahil kerana selama bekerjasama dengan Pas atas apa yang disebut oleh orang Pas sebagai tahaluf siyasi dahulu, sudah banyak kali berlaku pertentangan yang melibatkan isu-isu kepentingan Islam dan Melayu antara DAP dengan parti itu, dan apakah pemimpin-pemimpin Amanah sedia diprogramkan hanya untuk bersetuju?

Pada pandangan saya, DAP adalah sebuah parti ultra kiasu yang akan sentiasa  berusaha untuk menguasai pihak lain agar bersetuju dengannya.

Amanah adalah parti ilmuan, kumpulan Islamis yang profesional, intelek dan progresif. Elemen-elemen ini adalah sangat bernilai dan bermakna ke arah pembentukan  budaya politik baharu di negara kita. Janganlah jadi pak turut!


Tiada ulasan: