Rabu, 22 Jun 2016

Ikram syor pedofilia dihukum di bawah syariah

 
Undang-undang sedia ada sekarang masih ketinggalan untuk menangani kes jenayah melibatkan seksual, kata NGO Islam itu.


ikram_child-sexual_600


SERI KEMBANGAN: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) hari ini mendesak kerajaan menghukum pesalah pedofilia di bawah undang-undang syariah kerana hukuman berat jenayah itu di bawah undang-undang masih ketinggalan menangani kes seumpama itu.

“Pakar syariah termasuk ulama Ikram perlu duduk semeja mencari kaedah dan cadangan hukuman bersesuaian berlandaskan syariat Islam berikutan undang-undang sedia ada tidak mampu membanteras gejala ini daripada berterusan.

“Ikram yakin hukuman yang akan dikenakan kepada pesalah nanti hendaklah hukuman lebih berat dan setimpal dengan kesalahan dilakukan berikutan setiap kesalahan pesalah turut menghancurkan masa depan mangsa,” kata Ketua Wanita Ikram, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim pada program wacana “Pedofilia: Sejauh Mana Kita Diancam”.

Asmah berkata undang-undang syariah mampu bukan sekadar menghukum tetapi memberi pengajaran kepada pihak lain.

Beliau turut mencadangkan pesalah pedofilia diasing daripada masyarat dalam tempoh tertentu selain menjalani rawatan psikologi membabitkan susulan kecelaruan identiti berkenaan.

“Kerajaan dan masyarakat setempat tidak boleh membiarkan pesalah sekadar menjalani hukuman tertentu tanpa mewajibkan rawatan bersesuaian terhadap pesalah berikutan pesalah berisiko melakukan kesalahan berulang,” katanya.

Sementara itu, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Selayang, Dr Norharlina Bahar, berkata antara punca berlaku jenayah pedofilia ialah pesalah sendiri pernah menjadi mangsa ganguan seksual.

“Kalau mereka pernah diganggu mereka sepatutnya dibantu. Sekiranya tidak dibantu, kebarangkalian mereka menjadi pemangsa juga tinggi,” katanya.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan pengakuan warga Britain, Richard Huckle, yang kini dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah di London.

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan penderaan seks membabitkan kanak-kanak di Malaysia, dan persoalan ditimbulkan bagaimana pihak berkuasa tempatan gagal mengesan beliau ketika masih di Malaysia.

Tiada ulasan: