Sabtu, 18 Jun 2016

Hampir 60 peratus sudah keluar mengundi

SINAR HARIAN

Hampir 60 peratus sudah keluar mengundi
 
 
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Hashim Abdullah memantau perjalanan proses pengundian ketika melawat pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar hari ini. - Foto Bernama
 
KUALA KANGSAR - Proses pengundian pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar berjalan lancar dengan 59 peratus atau 19,253 daripada 32,632 pemilih berdaftar keluar mengundi setakat 2 petang ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan peratusan keluar mengundi pada PRK itu adalah 75 peratus.   

Katanya aliran mereka yang keluar mengundi di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dilaporkan agak perlahan, antaranya di PDM Bendang Kering, PDM Ulu Kenas, PDM Seberang Manong dan PDM Ketior.

Keadaan trafik juga dilaporkan sesak di beberapa kawasan di Kuala Kangsar, selain cuaca agak terik setakat 2 petang ini.

Semua 23 pusat pengundian yang dibuka sejak 8 pagi tadi akan ditutup 5 petang ini.  

PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan PRK kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor hari ini berikutan kematian Ahli Parlimen masing-masing iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikoper di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. - Bernama


Tiada ulasan: