Selasa, 7 Jun 2016

Dua PRK serentak bukti PAN tidak diperkuda DAP - Khalid

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
SUNGAI BESAR: Parti Amanah Negara (PAN) membidas dakwaan ia menjadi kuda tunggangan DAP, sebagaimana nasib PAS sewaktu menjadi komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak lama dahulu.
 
Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad menyifatkan dakwaan itu sebagai lapuk, dengan menambah dua pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai bukti tidak ada mana-mana parti tertentu mendominasi gabungan pembangkang tersebut.
 
"Dua PRK ini boleh dikemukakan sebagai bukti bahasa tiada mana satu parti mendominasi PH. Ianya merupakan bukti kesediaan ketiga-tiga parti berbincang dan berunding secara terbuka dan jujur yang mana akhirnya keputusan terbaik diterima oleh semua.
 
"Semua tahu Amanah (PAN) dari awal lagi ingin bertanding di dua pilihan raya ini. Namun atas persetujuan PH maka usaha berunding dengan PAS telah dilakukan oleh beberapa pimpinan PKR. Dalam keadaan ini Amanah akur dengan keputusan berkenaan.
 
"Setelah berusaha sekian lama terbukti PAS tidak sudi berunding dan keadaan menunggu PAS bersetuju berunding bagaikan 'pungguk rindukan bulan' maka dengan itu keputusan dibuat untuk hentikan usaha mendapat persetujuan berunding. Pimpinan PKR akur dan Amanah (PAN) diputuskan sebagai wakil PH," katanya di sidang media bertempat di Pejabat PAN Sungai Besar, petang tadi.
 
Laporan media baru-baru ini memetik bahawa PAN bakal menjadi mangsa dominasi DAP dalam gabungan kerjasama tiga parti itu menerusi PH.
 
Sebelum ini juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa DAP sering memperkudakan rakan komponen PH sepertimana yang pernah berlaku kepada PAS sebelum ini.
 
DAP sebelum ini meminta PAS menghentikan tuduhan itu dan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.
 
Sementara itu Khalid juga mempertahankan kebolehan calon PAN selepas calon Umno, Budiman Zuhdi menyatakan pandangan parti baru itu tidak mampu memajukan Sungai Besar dan kawasan di bawah Parlimen itu sekiranya menang pada PRK itu, 18 Jun depan.
 
"Sebagai ADUN pun tak mampu nak menjalan tugas dengan cemerlang kenapa nak jadi ahli parlimen pula? Tumpu tugas sebagai ADUN, usaha untuk bangunkan Sungai Panjang. Pada masa sama ada wakil rakyat dari PH maka beliau juga dapat membantu membangunkan Sungai Panjang dan Parlimen Sungai Besar. Lebih baik ada tiga wakil rakyat, daripada hanya dua sahaja," kata Khalid.
 
Budiman semalam menepis dakwaan kawasannya, Sungai Panjang sebagai tidak maju selepas kempen PAN menyebut bahawa beliau tidak membawa perubahan di DUN itu.
 
Turut hadir di sidang media berkenaan adalah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua.
 
Dalam sidang media yang sama juga Nurul Izzah menolak dakwaan PKR tidak memainkan peranan membantu calon PAN dalam kempen di Sungai Besar.
 
Katanya PKR diberikan beberapa daerah mengundi di parlimen itu dalam tujuan membantu calon PAN iaitu Azhar Abdul Syukur.
 
"Pada saya penambahan daerah mengundi kepada PKR bagi membantu calon PAN adalah menunjukkan komitmen PKR untuk bersama dalam gabungan itu. Dan ia sebagai titik permulaan, seterusnya momentum untuk berdepan pada pilihan raya akan datang dan menjadikan kita satu gabungan yang mantap," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: