Sabtu, 11 Jun 2016

'Atas pagar' target lonjak undi Amanah

ARIF ATAN
 
 
 
Pengundi 'atas pagar' menentukan kemenangan Amanah di Sungai Besar.Pengundi 'atas pagar' menentukan kemenangan Amanah di Sungai Besar.


Golongan pengundi bukan penyokong tegar mana-mana parti politik menjadi sasaran untuk membantu kemenangan Amanah.

Pengarah Biro Pilihan Raya (BPR) Amanah Selangor, Cikgu Jaafar Shamsuddin berkata, sebahagian pengundi atas pagar pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu berpotensi untuk mengundi Amanah pada PRK, 18 Jun ini.

"Sokongan yang kita mahu raih adalah pengundi atas pagar yang sebelum ini mengundi Pas atau BN.
"Kalau kita dapat undi 35 peratus daripada kelompok mereka ini, tidak mustahil Amanah boleh menang," ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Walau bagaimanapun, beliau berharap peratus pemilih untuk keluar mengundi tidak terjejas ketika bulan Ramadan ini.

Sehubungan itu, ujarnya, gerak kerja kempen pilihan raya ke lapangan turut dipergiat dengan mengambil kira kesesuaian waktu sempena bulan Ramadan ini.

"Kita akan turun ke bazaar Ramadan bertemu dengan pengundi manakala di sebelah malam, ceramah kelompok akan diadakan selepas solat terawih sampai jam 12 tengah malam," katanya.

Selain itu, ujar beliau, usaha menjejaki dan menziarahi pemilih berdaftar diteruskan bagi tujuan mengemaskini pangkalan data, e-profiling yang dihubungkan dengan Pusat IT Nasional.

"Majlis berbuka puasa dalam sehari kita cuba di beberapa tempat. Kerja-kerja kempen dan ceramah juga fokus pada pengundi muda," jelasnya.
Mengulas komposisi 67.16 peratus pengundi Melayu di Sungai Besar, beliau tidak menolak segmen tersebut sebagai kritikal seperti dianggap banyak pihak.
"Peluang Amanah untuk menang lebih 50 peratus jika sokongan pengundi Melayu meningkat dan mencecah target," tambah Cikgu Jaafar lagi.

Untuk rekod, di Parlimen Sungai Besar juga terdapat 30.7 peratus pengundi Cina, India (1.92 peratus) dan lain-lain (0.23 peratus).

Mengikut pecahan jantina, 50.16 peratus daripada jumlah keseluruhan 42,655 pengundi di P.93 merupakan wanita.

Tiada ulasan: