Selasa, 16 Februari 2016

Zahid dangkal perlekeh anak muda

SHEIKH_OMAR_ALI_SENAWANG_03072015_TMIKAMAL_ARIFFIN_09

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak wajar memperlekeh golongan belia dengan mencabar mereka menceburi sektor 3D (Dirty, Difficult, Dangerous) jika kerajaan Persekutuan tidak mengambil sebarang usaha menambah baik sektor pekerjaan itu.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata tindakan itu mencerminkan sikap Zahid yang ada masalah 3D iaitu ‘Dayus, Defensif, Dangkal’ ekoran kenyataannya yang cuba menuding jari ke arah pihak lain.

“Zahid dayus apabila beliau lari dari masalah sebenar seperti menyediakan peluang pekerjaan dengan penetapan gaji minimum yang setimpal.

“Beliau bersikap defensif dengan terus mencabar golongan belia. Kononnya, beliau boleh mengacah-acah anak muda untuk membenarkan tindakannya yang ingin membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.

“Beliau juga saya anggap dangkal apabila dengan mudah memperlekeh anak muda sebagai seolah-olah malas bekerja, tidak ada jati diri dan tidak berani berusaha keras bagi mencari sesuap nasi untuk survival mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Zahid mencabar anak muda yang bekerja dalam sektor 3D jika mereka menolak kemasukan pekerja asing ke negara ini pada ucapannya di Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Selangor ke-32 di Shah Alam tempoh hari.

Sheikh Omar pada kenyataan media hari ini, berkata kerajaan harus memainkan peranan bagi memastikan sektor pekerjaan 3D lebih selamat, berbaloi dan bermaruah, bukannya cuba menyalahkan pihak lain.

“Isunya bukanlah tentang kesediaan anak muda menceburi sektor 3D. Sehingga kini pun, jumlah anak muda tempatan yang bekerja dalam sektor itu mencecah puluhan ribu.

“Namun, apakah usaha kerajaan bagi memastikan sektor pekerjaan 3D lebih selamat, berbaloi dan bermaruah? Adakah golongan belia boleh digajikan pada kadar berpatutan agar dapat meneruskan survival mereka?” katanya.

Beliau berkata jika kerajaan menawarkan gaji setimpal dengan pekerjaan supaya mampu menarik minat anak muda, seterusnya menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang tempatan.

“Kita ambil contoh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Sejak 2012, MPSP menjalankan dasar pengambilan pekerja separa mahir dan tidak mahir untuk kerja-kerja melibatkan pengumpulan sampah dan pembersihan.

“Gaji yang ditawarkan adalah pada kadar minimum RM1500. Ia bukanlah satu angka lumayan tetapi cukup bagi menarik minat lebih kurang 2000 pekerja tempatan.
 
“Pokoknya, kadar gaji yang berpatutan memainkan peranan besar,” katanya. -Roketkini.com


Tiada ulasan: