Isnin, 15 Februari 2016

YDP AMANAH nafi ada pecah amanah

Zulaikha Zulkifli  




Pengerusi AMANAH Selangor Izham Hashim berkata tiada kejadian pecah amanah berlaku ketika beliau memegang jawatan Yang dipertua (YDP) PAS Kelana Jaya.

Beliau menjelaskan ketika menyandang jawatan itu, sebarang urusan melibatkan kewangan PAS kawasan itu diputuskan dalam mesyuarat dan mengikut peraturan parti.

Izham berkata demikian sebagai mengulas laporan portal BNBBC yang mendakwa siasatan polis sedang dijalankan terhadap seorang pemimpin AMANAH atas tuduhan pecah amanah kerana mengeluarkan duit daripada akaun PAS Kelana Jaya lebih RM50,000.

Kejadian itu dilaporkan berlaku sebelum mesyuarat ahli jawatankuasa yang terakhir pada 18 Ogos 2015 untuk meluluskan pembatalan pembelian bangunan.

"Secara umumnya PAS Kelana Jaya masa saya YDP dulu, apa-apa keputusan duit semua dalam mesyuarat.

"Kita akan buat minit. Apa-apa (keputusan) mesti dapat kelulusan dan ikut peraturan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

PAS Kelana Jaya membuat laporan polis pada Jumaat lalu. Laporan BBNC bagaimanapun tidak menyebut nama mana-mana pihak yang terlibat dalam isu pecah amanah tersebut.

Sehubungan itu, Izham berkata beliau tidak tahu laporan polis itu dibuat sama ada semasa beliau memimpin PAS Kelana Jaya atau tidak.

"Hampir 90 peratus ahli jawatankuasa semasa saya jadi YDP keluar dari parti.

"Yang sekarang semua 100 peratus jawatankuasa baru, saya tak pasti sama ada mereka dah siasat betul-betul terlebih dahulu sebelum buat tuduhan," kata Izham yang menjadi YDP terakhir sebelum tertubuhnya jawatankuasa baru.


Tiada ulasan: