Khamis, 11 Februari 2016

Tun M mahu rakyat Malaysia pandu uji Proton

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad


SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat di negara ini memandu uji kereta Proton dan memberikan maklum balas mengenai kualiti kenderaan keluaran syarikat itu.

Katanya, ia bertujuan untuk menambah baik kualiti kereta keluaran Proton mengikut kehendak pasaran semasa.

Pengerusi Proton itu berkata, Proton sedar persepsi negatif rakyat terhadap kereta mereka di pasaran Malaysia.

“Hal ini dapat dilihat jika dibandingkan dengan kereta import. Tidak ada yang dapat pujuk mereka beli kereta Proton.

“Walaupun telah menghasilkan kereta lebih baik berbanding sebelum ini dengan lebih banyak ciri-ciri daripada kereta dalam kategori sama, namun ia gagal mencuri hati pembeli kereta di negara ini,” katanya dalam blognya.

Mahathir mengingatkan rakyat di negara ini bahawa apabila seseorang itu membeli kereta asing, wang akan mengalir keluar dari negara ini.

“Berbeza jika anda beli kereta tempatan, wang kekal di negara ini dan pekerja, pengedar dan ejen akan menikmati manfaatnya," katanya.

Jika import melebihi eksport, ekonomi  negara tidak akan berkembang. Semua negara-negara mengeksport kereta ke Malaysia dengan harapan Proton tidak boleh masuk ke dalamnya.

Mengenai majlis pelancaran enjin baharu Proton Campro yang digunakan lebih 10 tahun, Mahathir berkata,  enjin itu sudah tidak sesuai digunakan pada kereta hari ini.

“Kami gunakan (enjin itu) untuk eksport banyak kereta Proton ke United Kingdom (UK), tetapi sejak pengenalan standard pelepasan dan kecekapan bahan api, kami sudah tidak dapat menjual mana-mana kereta Proton di UK.

“Pembangunan enjin Proton baharu oleh jurutera kami dengan kerjasama Ricardo di UK akan jadikan kita mampu penuhi syarat-syarat di UK dan Eropah,” katanya.

Beliau percaya bukan mudah untuk mereka bentuk, bina, uji dan keluarkan kereta.

“Jika anda biasa dengan teka-teki jigsaw, anda akan memahami masalah yang dihadapi oleh jurutera dan pekerja pemasangan.

“Terdapat 4,000 bahan yang boleh direka, dibuat dan diletakkan bersama-sama. Kita adalah satu-satunya negara membangun di dunia ini yang boleh lakukannya,” katanya.

Katanya, Proton bukan punca kepada harga kereta tinggi tetapi berpunca daripada kerajaan sekarang.

“Sejak penubuhan Proton, kami telah membayar lebih daripada RM24 bilion cukai semasa dan hanya menerima RM14 bilion dalam pemotongan duti eksais. Ia bukan dalam bentuk wang tunai.

“Cukai ke atas kenderaan bermotor adalah penyebab harga menjadi tinggi. Kerajaan juga perlukan cukai jalan raya kerana kemudahan ini disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: