Isnin, 22 Februari 2016

Tidak semua pensyarah boleh diperalatkan

DR HASAN BAHROM
DR HASAN BAHROM
 
 
GELOMBANG kedua penghijrahan golongan profesional ke dalam Parti Amanah Negara (Amanah) membuktikan parti Islam baharu itu mula diterima pelbagai pihak kerana dasar keterbukaannya.

Penyertaan golongan cendekiawan ini khususnya dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dilihat sebagai penolakan secara terang-terangan bukan sahaja kepada parti pemerintah bahkan simbolik kepada pembelaan golongan bukan ulama itu selepas mereka ini disia-siakan Pas sejak tahun lalu.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NIZAM ZAIN dan juru foto ROSLI TALIB bersama Naib
Presiden Amanah, DR HASAN BAHROM baru-baru ini untuk mengupas lebih lanjut tentang keterbukaannya untuk terlibat dalam parti politik secara serius selepas bersara sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
 
Apakah yang mendorong Dr selaku bekas pensyarah UiTM untuk terlibat secara langsung dalam parti politik khususnya pembangkang? Kenapa tidak Pas?

Kita harus faham bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan, kedua-duanya saling bersangkutan antara satu sama lain. Politik adalah satu sistem atau peraturan dan dalam kehidupan manusia seharian tidak boleh lari dari sistem. Banyak faktor mendorong saya terlibat dalam parti politik khususnya dalam parti politik pembangkang. Antara faktornya ialah latar belakang pendidikan di mana pendidikan saya di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang politik.

Teori politik yang dipelajari dan selidiki wajar diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal. Mungkin kita mempelajari banyak maklumat dan idea baik dan apakah idea tersebut boleh diterjemahkan dalam bentuk lebih mendasar, dan apakah ilmu yang kita miliki itu dapat diterima oleh masyarakat massa dengan lebih mudah dan meyakinkan.

Banyak penyelidikan dilakukan dan dapatan diperoleh dari kajian namun, kadang-kala dapatan yang diperoleh daripada penyelidikan itu tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang lebih komprehensif dan menyeluruh. Kerana itu, banyak penyelidikan baik dan bermutu dilakukan oleh sarjana di universiti tidak dapat dilaksanakan, malah kadang-kala tidak dapat difahami oleh sebahagian ahli parti politik.

Penglibatan saya dalam parti politik pembangkang khususnya didorong atas dasar kesedaran dan keinsafan untuk bersama  dengan rakan lain memperjuangkan nilai politik lebih keadilan, menentang sebarang bentuk kezaliman, penindasan, penyelewengan dan ketirisan dalam sistem pengurusan negara.

Dengan suasana krisis politik sekarang ini, saya tidak yakin Umno dan BN mampu melakukan perubahan dalam sistem mereka sendiri, sistem kehakiman diragui kemandiriannya kerana semacam ada campur tangan politik, kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN), rasuah membarah dalam kehidupan masyarakat, salah guna kuasa serta kegagalan pembinaan bangsa Malaysia bersatu padu kerana dimomokkan dengan isu perkauman dan sistem demokrasi diperkotak-katikkan.

Bagi saya, memilih Amanah adalah satu keputusan tepat, walaupun ia parti politik baharu dalam persada politik negara, namun idea dan pemikirannya bukanlah baharu. Ini kerana ia dipelopori oleh mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam politik.
 
Adakah Amanah lebih terbuka menerima golongan profesional berbanding Pas di mana kebanyakan bekas pemimpin Pas menyertai Amanah juga dalam kalangan profesional?

Saya fikir semua parti berusaha menarik lebih ramai golongan cerdik pandai dan golongan profesional terlibat serta melibatkan diri dalam gerakan parti politik mereka. Amanah juga begitu, ia terbuka dan menerima sesiapa sahaja  menjadi ahli, asalkan ia warganegara Malaysia yang layak. Amanah bukan parti elit milik individu atau golongan tertentu, ahli parti terdiri dari pelbagai fahaman agama, bangsa dan budaya, sekalipun dasarnya berpaksikan kepada Islam, namun  keahliannya merentasi batas agama.

Kita harus berpijak di landasan betul dan realistik, menerima hakikat bahawa negara ini adalah majmuk. Amanah ingin membuang dasar parti perkauman sempit yang wujud selama ini, dan menjadi momokan sebagai modal untuk mengekalkan kuasa.

Adakah polisi universiti berkepentingan kerajaan tidak membenarkan pensyarah terlibat secara langsung dengan politik?

Pada umumnya semua institusi pengajian tinggi malah, kakitangan awam kumpulan A tidak dibenarkan terlibat secara aktif dalam parti politik. Maksud aktif adalah memegang jawatan dalam mana-mana parti politik, perkara ini terungkap dalam perintah am kerajaan, menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya terlibat secara serius dalam parti politik.

Demikian juga kakitangan awam dalam kumpulan B dan C, namun mereka boleh aktif dalam parti politik setelah mendapat izin daripada ketua jabatan. Larangan ini dilakukan mungkin kerana dikhuatiri berlaku perkara yang tidak sesuai dalam urus tadbir jabatan yang boleh menjejaskan perkhidmatan awam.

Namun sebagai ahli parti politik tidaklah menjadi kesalahan selagi ia tidak bercanggah dengan kerjaya yang mereka lakukan. Apa yang berlaku sekarang ini ialah terdapatnya kakitangan awam terlibat secara langsung dengan parti politik dan tidak ‘menjadi kesalahan’ sekiranya mereka terlibat dalam parti politik pemerintah.

Sebaliknya jika kakitangan awam lain terlibat dalam parti politik pembangkang, semacam satu kesalahan, anggapan ini wajar diperbetulkan kerana seolah-olah berlakunya 'double standard' dalam pelaksanaan undang-undang atau peraturan. Kalau kita betul-betul mengiktiraf sistem demokrasi, setiap warganegara berhak melibatkan diri dalam organisasi yang diiktiraf oleh negara. Perkara ini terungkap dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengapa memilih selepas bersara sebagai pensyarah untuk menyertai parti politik?

Sudah menjadi peraturan dalam perkhidmatan awam, penglibatan secara aktif dalam parti politik tidak dibenarkan, dan menjadi kesalahan. Sebagai kakitangan awam yang profesional kita kena akur dengan peraturan yang ada.

Sekalipun kita mempunyai pandangan berbeza dan tidak setuju dengan pemerintah dalam aspek tertentu, namun dalam peraturan sedia ada mengekang gerak kerja yang lebih serius dengan parti politik secara terbuka.Namun kita boleh menyumbang dalam bentuk yang sesuai dengan kapasiti sedia ada.

Tiada ulasan: