Khamis, 11 Februari 2016

TH ‘disembelih’ untuk beri imej politik yang baik – AMANAH

 
Tabung Haji didakwa menjual aset penting untuk membayar bonus yang tinggi tetapi bagaimana kedudukan kewangan agensi itu pada masa depan?


Salahuddin-Ayub_tabung-haji_600


KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengingatkan kerajaan agar tidak memusnahkan Lembaga Tabung Haji (TH) demi kepentingan politik.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, tindakan menjual aset-aset penting TH untuk membayar bonus tinggi dilihat cubaan untuk ‘menyembelih’ TH.

“Jangan ‘sembelih’ TH untuk mendapat gambaran politik yang menarik untuk hari ini tetapi memusnahkan TH dalam jangka masa yang panjang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat AMANAH di sini, hari ini.

Salahuddin turut mengulas tindakan TH menjual asetnya di London yang didakwa tindakan yang tidak berhemah dan merugikan dari sudut perniagaan.

“Tetapi mungkin mampu mencapai kesan yang sangat diingini dari sudut politik. Apabila aset sebegini yang mampu memberikan pulangan tinggi dijual, apa akan dilakukan TH untuk masa akan datang?.

“Pelaburan-pelaburan lain sama ada dalam hartanah atau saham tidak mungkin mampu mendatangkan hasil setinggi ini. Kami sangat khuatir tindakan TH ini seperti menjual ‘angsa yang bertelur emas’,” katanya.

Jelasnya, melalui pembayaran bonus lima peratus dan bonus haji tambahan tiga peratus, TH cuba memberi gambaran kewangan dan perniagaannya kukuh sekaligus menepis segala sangkaan buruk yang ditimbulkan terhadap agensi tersebut.

“AMANAH yakin bahawa laporan kewangan TH bagi 2015 yang bakal disediakan akan turut memberi gambaran baik mengenai perniagaannya.

“Sedangkan keadaan sebenar mungkin sebaliknya. Keuntungan dan peningkatan nilai aset adalah bukan daripada hasil perniagaan semasa TH. Sebaliknya ia daripada pelaburan lama dan keuntungan hasil darinya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, rakyat seharusnya tidak mudah tertipu dengan pemberian bonus yang diberikan TH.

“Jangan kita tertipu dengan pembayaran bonus yang tinggi dan laporan kewangan yang bakal dikemukakan bulan depan.

“Ini bukan soal sangkaan buruk. Semua ini masih relevan walaupun laporan kewangan TH yang bakal dibentangkan mungkin begitu menarik dan memberangsangkan,” katanya.

Sebelum ini, TH mengumumkan bonus pendeposit bagi tahun kewangan 2015 sehingga lapan peratus, merangkumi lima peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak tiga peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji.

Tiada ulasan: