Khamis, 4 Februari 2016

Tabung Haji umum 5 peratus dividen, 3 peratus bonus

Zulaikha Zulkifli





Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mengumumkan Lembaga Tabung Haji akan mengagihkan RM3.23 bilion dividen dan bonus kepada pendeposit.

Dengan jumlah tersebut, Jamil berkata, kadar dividen kepada pendeposit pada tahun 2015 adalah sebanyak lima peratus dan tambahan bonus haji sebanyak tiga peratus kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan haji.

Jumlah tersebut bagaimanapun menurun berbanding tahun lalu apabila kadar dividen yang diperolehi pendeposit sebanyak 6.25 peratus.

Selain itu, Jamil menjelaskan keuntungan Lembaga Tabung Haji pada 2015 sebanyak RM3.53 bilion.

Namun, selepas mengambil kira pandangan Bank Negara dan prospek ekonomi pada tahun ini, pihak Tabung Haji akan menyimpan RM300 juta dari Keuntungan Boleh Agih tahun ini kepada Rizab Boleh Agih.

"Tabung Haji akan mengagihkan RM3.23 bilion sebagai bonus kepada pendeposit. Seperti yang dinyatakan tadi, baki RM300 juta dari keuntungan tahun ini akan disimpan sebagai rizab.

"Pembayaran bonus kali ini akan memberi manfaat kepada 8.23 juta pendeposit Tabung Haji yang belum pernah menunaikan haji," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi mengumumkan bonus pendeposit Tabung Haji 2015 di ibu pejabat Tabung Haji di ibu negara hari ini.

Tiada ulasan: