Selasa, 16 Februari 2016

'Siasatan cepat ke atas Mahathir tapi bisu tentang Jho Low'

MALAYSIAKINI




Bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini menggesa Ketua Polis Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membekalkan maklumat terkini mengenai laporan polis mengenai skandal 1MDB dan dakwaan pembabitan ahli perniagaan Jho Low, yang dibuatnya pada 12 Disember, 2014.

Khairuddin menuntut penjelasan, selepas Khalid, semalam berkata polis membuka kertas siasatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa dua hari laporan polis terhadap bekas perdana menteri itu.

“Sebagai pelapor saya mempunyai hak untuk meminta penjelasan dan pencerahan dari Khalid Apakah Jho Lo sudah dipanggil oleh pihak polis untuk soal siasat?

“Kalau sudah dipanggil oleh polis, saya ingin bertanya bila? Apa perkembangannya?

“Kalau polis belum soal siasat Jho Lo; saya pun nak tanya kenapa? Dah lama dah saya buat laporan polis!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Negara, semalam berkata siasatan sedang dijalankan terhadap Dr Mahathir berikutan pelbagai laporan polis ke atasnya.

Menurutnya, Mahathir disiasat kerana fitnah jenayah berhubung lebih satu kemas-kini di blog yang mendakwa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak akan bertindak terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana terhutang budi.

Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung ‘derma’ RM2.6 bilion yang berada di akaun bank perdana menteri dan wang RM42 juta daripada SRC International.

Khairuddin sejak tahun 2014 membuat pelbagai laporan, termasuk dengan agensi-agensi penguatkuasaan antarabangsa, mengenai skandal 1MDB.

Ini mendorong siasatan sedang dijalankan di Singapura, Switzerland, Hong Kong, Perancis dan United Kingdom.

Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang kemudiannya didakwa cuba mensabotaj ekonomi melalui laporan berkenaan.

Kedua-dua mereka kemudiannnya ditangkap dan ditahan untuk lebih sebulan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan dan Langkah-Langkah Khas Akta (Sosma) tetapi Mahkamah Tinggi membebaskan mereka kerana mendapati mereka tidak dituduh dengan kesalahan keselamatan.

Tiada ulasan: