Jumaat, 12 Februari 2016

Shahbudin: Najib tidak tahu keutamaan penjimatan

 
Shahbudin mempersoal bagaimana kerajaan dapat berjimat dengan mengelak menggunakan karpet merah semasa persiapan menyambut beliau dalam lawatan kerja serta majlis rasmi yang dihadirinya.


najib-shahbudin


PETALING JAYA : Seorang rakan Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah beralih arah beberapa bulan lalu, menyifatkan Perdana Menteri semakin hilang keutamaan menentukan apa yang perlu dilakukannya untuk menyelamatkan negara.

Bekas Naib Ketua Pemuda Setiawangsa, Shahbudin Husin berkata, menurut rakan Najib itu lagi, walaupun tanpa karpet merah sekiranya sikap dan perangai Najib masih tidak berubah, tiada sebarang perubahan yang dapat dirasakan rakyat.

Pada masa yang sama, Shahbudin turut mempersoal kenyataan Najib mengenai penjimatan yang akan dilakukan tanpa menggunakan karpet merah untuk menyambutnya dalam lawatan kerja dan majlis rasmi yang dihadirinya.

“Apa yang sebenarnya dapat dijimatkan dengan tidak menggunakan karpet merah? Apakah selama ini penggunaan karpet merah yang menyebabkan kewangan negara jadi tenat?

“Adakah dengan tidak menggunakannya lagi, ekonomi negara akan segera melonjak dan hutang yang bertimbun dapat dikurangkan?,” soalnya menerusi entri di blognya shahbudindotcom.blogspot.my.

Shahbudin dalam masa yang sama turut mempersoalkan sebab Najib tidak mengumumkan penjimatan yang lebih besar oleh kerajaan.

Antara yang dimaksudkan ialah seperti mengurangkan saiz kabinet, pemotongan gaji dan elaun menteri serta membuang penasihat dan duta khas bertaraf menteri yang tidak memberi sebarang faedah.

“(Selain itu) menghadkan majlis jamuan sempena hari perayaan kepada menteri-menteri dan timbalan menteri dan memotong sebahagian peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang berjumlah lebih RM20 bilion untuk tahun 2016?,” katanya.

Baru-baru ini, Najib menegur persiapan menyambut beliau dalam lawatan kerja serta majlis rasmi yang dihadirinya.

Menurut Najib, terdapat beberapa perkara boleh dilakukan bagi mengurangkan perbelanjaan, termasuk mengurangkan penggunaan karpet merah dan hidangan istimewa.

Tiada ulasan: