Selasa, 16 Februari 2016

Rumah roboh dibadai ombak

Rumah roboh dibadai ombak
Rumah Hazura roboh akibat dibadai ombak besar.
 


PAKA - Fenomena air pasang besar yang melanda pesisir pantai daerah ini minggu lalu turut menyebabkan sebuah keluarga di Pantai Laut hilang tempat tinggal selepas rumah mereka roboh dibadai ombak kuat.

Mangsa, Hazura Halias, 33, berkata, kejadian ombak besar pada 7 Februari lalu umpama mimpi ngeri buat mereka sekeluarga apabila sebahagian rumah yang didiami, roboh.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana mereka sekeluarga sempat melarikan diri ke rumah bapa mentuanya ketika kejadian berlaku.

“Saya dan empat anak berusia antara 9 bulan hingga 13 tahun baru sahaja ke rumah bapa mentua yang berada di belakang rumah kami.

“Ketika itu air pasang dan ombak kuat membadai hingga ke tengah dinding rumah. Sebaik sahaja suami selesai mengemas dan bawa barang penting keluar, kedengaran dentuman kuat. Rupa-rupanya rumah kami roboh,” katanya.

Menurut Hazura, suaminya, Zulaimi Mohamad, 38, yang bekerja sebagai nelayan, memang berasal dari situ dan sentiasa berdepan risiko setiap kali tiba musim tengkujuh atau air pasang.

“Ketika air pasang atau musim tengkujuh, kami akan menumpang di rumah bapa mentua, tetapi sebenarnya rumah mereka juga berdepan bahaya. Tahun demi tahun hakisan teruk melanda sehinggalah rumah kami yang didirikan di atas tanah orang lain akhirnya roboh.

“Besar harapan kami agar ada pihak membantu memberi penempatan baru kerana mustahil untuk kami berpindah ke tempat lain atau bina rumah baru. Dengan pendapatan suami yang tidak menentu dan saya pula hanya suri rumah, memang tidak mampu. Tambahan lagi kami perlu menanggung tiga anak yang bersekolah,” katanya.
 
Mohon masalah diberi perhatian
Bapa mentua Hazura, Mohamad Othman, 72, berkata, walaupun keadaan rumahnya juga usang, namun dia tiada pilihan lain dan terpaksa menumpangkan anak serta cucunya itu.

“Kira-kira 10 rumah penduduk di sini turut berdepan risiko, termasuklah rumah saya.

"Pihak berkaitan diminta memberi perhatian terhadap masalah ini kerana jika tidak dibantu, apalah nasib akan melanda kami nanti.

“Buat masa sekarang, dua anak saya bersama isteri dan anak masing-masing terpaksa menumpang di rumah ini. Manakala yang satu lagi bila-bila masa boleh mengalami kejadian sama,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Selamah Hitam, 63, setiap kali musim tengkujuh atau ombak besar, dia dan anaknya akan menumpang di rumah saudara-mara.

“Saya tinggal di sini sejak 60 tahun lalu, walaupun berdepan bahaya, tapi tiada tempat lain lagi hendak kami tuju. Sekarang, bahagian rumah saya makin mereput dan tidak mustahil jika ombak besar berlaku lagi, ia akan roboh.

“Kami sangat mengharapkan tempat tinggal lebih baik, tetapi apakan daya tidak mampu. Apa yang boleh diharap sekarang agar ada pihak yang bersimpati,” katanya.

Sedia penempatan baharu untuk mangsa

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam turut melakukan kunjungan di kawasan berkenaan dan akan berusaha memindahkan keluarga terlibat ke tempat lebih selamat serta selesa.

Din berkata, tapak penempatan baharu seluas empat hektar di Kampung Telaga Emas disediakan untuk pemilik rumah yang terjejas akibat fenomena ombak besar dan angin kencang.

“Buat masa ini, kira-kira 50 rumah di kampung berkenaan dengan 10 daripadanya berisiko runtuh akibat hakisan di pesisir pantai. Kerajaan negeri akan sedia tapak penempatan baru untuk keluarga terjejas yang diyakini lebih selamat daripada ancaman hakisan.

Kerajaan juga sedang meneliti senarai mereka yang layak untuk dipindahkan ke penempatan baru.

Keutamaan diberi kepada mereka yang terjejas hakisan dan penduduk miskin di sekitar Paka. Tohmahan mengatakan kerajaan tidak ambil peduli mengenai masalah ini adalah tidak benar, tapi ia tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata dan keutamaan akan diberi kepada yang lebih memerlukan,” katanya.

Tiada ulasan: