Selasa, 9 Februari 2016

Rakyat bersolidariti di Himpunan Bebaskan Anwar

OLEH : NAZLI IBRAHIM


SUNGAI BULOH: Sebaik menghampiri tapak Himpunan 365 #Bebaskan Anwar di hadapan Penjara Sungai Buloh, didapati kenderaan penuh di kiri dan kanan bahu jalan utama.

Melihat keadaan yang sesak, penulis tiada pilihan melainkan memandu terus sehinggalah menemui tempat kosong untuk meletak kenderaan.

Bebas Anwar2

Akhirnya, selepas memandu kira-kira satu kilometer, penulis berjaya menemui tempat meletak kenderaan.

Sebaik turun daripada kenderaan, kelihatan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad yang juga terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari tapak himpunan.

“Jauh parking nampaknya YB?,” sapa penulis.

“Tak apa, saya juga rakyat biasa dah biasa parking jauh dan lagi pun jalan elok untuk kesihatan,” jawapannya itu membuatkan penulis terdiam.

Kemudian kami sama-sama jalan beriringan menuju ke tapak himpunan.

Sebaik tiba, penulis dapati tidak kurang 500 hadirin sudah ramai memenuhi ruang tapak himpunan yang agak kecil itu.

Di atas pentas utama, Dr Mohamad Nor Manuaty sedang memberi tazkirahnya.

Sebaik tazkirah disampaikan, program diteruskan dengan solat Isyak berjemaah.

Himpunan 365Tepat jam 9.00 semakin ramai pemimpin muncul antaranya, wakil-wakil rakyat, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan individu penting lain seperti Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin, Sivarasa Rasiah, Saari Sungib, Dr Xavier Jayakumar, Zuraida Kamaruddin, Datuk Seri Lajim Ukin, Datuk A. Samad Said, Khalid Samad dan ramai lagi.

Jam 9.30 malam, keadaan menjadi semakin sesak apabila semakin ramai hadirin membanjiri tapak himpunan.

Adun Hulu Kelang, Saari Sungib ketika menyampaikan ucapan pembukaannya memberitahu hadirin ketika ini beliau berada dalam ‘khabar tak baik’ ekoran Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi dipenjarakan.

“Adakah kita berada dalam keadaan baik ketika Datuk Anwar berada dipenjara,” kata beliau.

Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Mohamad Raimi Abd Rahim pula berkata, insan seperti Anwar tidak lahir setiap tahun.

“Beliau adalah insan terpilih untuk mengubah negara ini kepada lebih baik,” katanya.

Senator PKR, Siti Aishah Shaik Ismail pula berkata, walaupun Anwar bukanlah bapa kandung semua orang tetapi beliau adalah bapa kebebasan rakyat dan negara.

Tepat jam 10.00 malam ketibaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tambah menghangatkan suasana.

Dianggarkan kehadiran orang ramai dianggarkan sudah mencecah 1,000 orang.

Selain ucapan, himpunan malam ini turut diselang selikan dengan pelbagai acara lain seperti nyanyian dan deklamasi sajak.

Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan barisan kepimpinan lain turut melepaskan burung merpati sebagai simbolik kepada pelancaran Himpunan 365 #BebasAnwar.  EZY


Tiada ulasan: