Selasa, 9 Februari 2016

Proton sasar eksport semula kereta ke UK, kata Dr Mahathir

THE MALAYSIAN INSIDER

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata enjin baharu Proton merupakan satu kejayaan baru kerana enjin sebelumnya sudah berusia lebih 10 tahun dan tidak sesuai dengan kereta hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Februari, 2016.Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata enjin baharu Proton merupakan satu kejayaan baru kerana enjin sebelumnya sudah berusia lebih 10 tahun dan tidak sesuai dengan kereta hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Pengeluar kereta tempatan, Proton menyasarkan untuk mengeksport keretanya ke United Kingdom (UK) dan Eropah sekali lagi, memandangkan syarikat itu kini sudah membangunkan enjin baharu yang memenuhi piawaian pelepasan negara berkenaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata enjin baharu itu satu kejayaan baru kerana enjin sebelumnya sudah berusia lebih 10 tahun dan tidak sesuai dengan kereta hari ini.

"Kita pernah mengeksport banyak kereta Proton ke UK. Tetapi sejak pengenalan piawaian pelepasan dan kecekapan bahan api baharu, kita tidak dapat menjual mana-mana model kereta Proton di UK," tulis Dr Mahathir dalam blognya hari ini.

"Pembangunan enjin baharu Proton oleh jurutera kami yang bekerja dengan Ricardo di UK akan menjadikan kita sekali lagi dapat memenuhi syarat-syarat di UK dan Eropah. "Kami berharap untuk mengeksport kereta kami ke negara-negara berkenaan sekali lagi."

Namun, pengerusi Proton itu berkata, enjin itu hanya boleh dipasang ke dalam model kereta syarikat automobil nasional itu lewat 2017 kerana perlu melalui ujian yang ketat, termasuk mengujinya sejauh 5 juta km.

Beliau menggesa rakyat Malaysia memberi peluang kepada Proton, sambil berkata syarikat itu menyedari persepsi negatif di sekeliling mereka.

Beliau menegaskan kereta yang dihasilkan Proton sekarang berbeza daripada model terdahulu, dan kebanyakannya menawarkan lebih banyak ciri-ciri menarik berbanding pesaing daripada kategori sama.

"Saya rasa kereta Proton sepatutnya dipandu uji oleh rakyat Malaysia. Ceritakan pengalaman anda. Kritik kereta ini. Kami mahu maklum balas supaya kami boleh memperbaiki kereta ini," kata Dr Mahathir.

"Apabila anda membeli sebuah kereta tempatan, wang mengalir di dalam negara ini, pekerja memperoleh wang, pengedar dan ejen serta pekerja mereka menikmati perniagaan yang mereka lakukan dan ekonomi tempatan tumbuh. Ribuan keluarga menikmati kehidupan yang baik."


Tiada ulasan: