Isnin, 1 Februari 2016

PRN Sarawak: Prinsip satu lawan satu kekal - Azmin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: PKR kekal dengan pendirian satu lawan satu meskipun PAS mahu bertanding di kerusi yang biasa ditandingi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
 
Namun Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, pembahagian kerusi itu masih boleh dibincangkan sebelum DUN negeri itu dibubarkan.
 
"Biasalah mana-mana pilihan raya kita bincang, yang penting kita mahu prinsip 1 lawan 1 diteruskan," kata Azmin yang dipetik The Malaysian Insider.
 
Sabtu lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu akan meletakkan calon di 11 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan bersedia menentang mana-mana calon termasuk daripada DAP. 
 
Katanya keputusan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut - 9 kawasan lama, 2 kawasan baharu hasil persempadanan semula - dibincangkan bersama PKR kerana mereka masih mempunyai hubungan, tetapi tidak dengan DAP.
 
Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar penamaan calon PRN itu dilakukan pada 18 April dan hari pengundian pada 30 April.
 
Bercakap lebih lanjut, Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata, PKR sudah berbincang dengan PAS mengenai perkara itu dan akan turut meneruskan perbincangan dengan DAP bagi memastikan prinsip 1 lawan 1 dikekalkan.
 
Mengulas halangan imigresen terhadap beberapa pemimpin PKR daripada menjejakkan kaki ke Sarawak, Azmin berkata tindakan itu tidak akan merencatkan persediaan parti tersebut untuk bertanding.
 
"Walaupun jasad (mereka) tak masuk (Sarawak) tetapi semangat (mereka) masuk," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan laluan baharu PJ City Bus di Stesen LRT Taman Bahagia Petaling Jaya, pagi ini.
 
Sebelum ini, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menjadi pemimpin pembangkang terbaharu yang dihalang memasuki Sarawak apabila beliau ditahan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Jumaat lalu.
 
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Talha, yang sedang dalam perjalanan bersama Zuraida dibenarkan masuk.
 
 

Tiada ulasan: