Jumaat, 12 Februari 2016

Polis gesa henti buat pelbagai spekulasi

Pengusaha restoran nasi kandar maut ditembak
Lokasi kejadian tembak


GEORGETOWN - Orang ramai diminta supaya tidak membuat pelbagai spekulasi terhadap kes tembak melibatkan seorang pengusaha restoran nasi kandar dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, orang ramai juga diminta tidak membuat spekulasi terutamanya di media sosial yang boleh menggusarkan masyarakat.

"Saya nasihatkan supaya semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini.

Ada yang meninggalkan komen di laman Facebook dengan mengatakan kes ini melibatkan politik dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Saya minta agar berhenti dari membuat sebarang spekulasi, biar polis siasat dahulu.

"Kita masih belum mengetahui motif sebenar kejadian ini. Oleh demikian, orang ramai jangan membuat spekulasi sehingga menggusarkan masyarakat. Komen-komen negatif ini sama sekali tidak tepat dan tidak benar, oleh itu, berhentilah dari terus membuat andaian sendiri," katanya kepada media.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pengusaha restoran nasi kandar maut ditembak]

Mior Faridalathrash berkata, sehingga kini, pihaknya belum membuat tangkapan dan kes masih disiasat.

"Kita masih mengkaji rakaman kamera litar tertutup (cctv) yang berdekatan dengan tempat kejadian.

Setakat ini, apa yang pasti, ia melibatkan dua lelaki yang menaiki motosikal dan yang melepaskan tembakan adalah pembonceng motosikal. Mereka berusia lingkungan lewat 20 an.

"Dari rakaman itu juga kita mendapati, penunggang motosikal berkulit  gelap manakala pemboncengnya berkulit cerah. Mereka dipercayai rakyat tempatan namun siasatan masih dijalankan. Dari rakaman cctv ini, kita percaya dan yakin kes ini boleh diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, Mior Faridalathrash turut menafikan mangsa terlibat dengan pergaduhan keluarga dalam perniagaan restoran nasi kandar Line Clear.

"Mangsa tidak terlibat dengan pergaduhan keluarga dalam isu nasi kandar Line Clear. Memang benar, mangsa ada membuka restoran nasi kandar iaitu Nasi Kandar Beyond tetapi ia tidak ada kena mengena dengan isu Line Clear.

"Mangsa hanya mempunyai perhubungan keluarga dengan pengusaha Line Clear namun dia tidak terlibat dengan masalah perniagaan itu," katanya.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu, seorang pengusaha restoran nasi kandar maut selepas ditembak dari jarak dekat dalam satu kejadian di Jalan Datuk Keramat di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa Syed Amen Jainul Abdin mati ditempat kejadian selepas terkena lima das tembakan di bahagian kepala, badan dan tangan.

November lalu, tindakan mangsa meluahkan kekecewaan terhadap pegawai JPJ di bangunan JPJ Cawangan Batu Uban berhubung isu sita kereta viral di media sosial.


Tiada ulasan: