Isnin, 8 Februari 2016

Polis cari warga asing dipukul Papagomo, kata Khalid



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris memukul pekerja warga Pakistan, adalah menyalahi undang-undang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 8 Februari, 2016.Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris memukul pekerja warga Pakistan, adalah menyalahi undang-undang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal,
 
 
Polis sedang mencari pekerja warga Pakistan, yang dilihat dalam video yang tersebar luas di Internet, diserang blogger pro-Umno Papagomo, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua polis negara berkata, tindakan Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris itu, adalah menyalahi undang-undang.

"Tiada siapa mengatasi undang-undang. Bukan pukul pekerja asing saja salah, pukul binatang pun salah. Dia sepatutnya membuat laporan polis," kata Khalid hari ini.

Timbalan Khalid, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim pada 5 Februari berkata, Papagomo merendahkan polis dengan mengetepikan undang-undang dan mengambil tindakan sendiri. “Kita akan ambil tindakan jika ada laporan. Malah, jika tiada laporan polis dibuat, kita akan siasat," kata Noor Rashid.

"Kita tidak mahu orang ambil undang-undang sendiri,” katanya.

Papagomo dalam rakaman video itu dilihat menampar, menolak dan menendang seorang lelaki yang dituduh mengganggu 2 adik perempuannya dan 2 lagi rakan mereka.

Video itu memperoleh lebih 500,000 "like" dan ditonton lebih sejuta kali.

Sementara itu, ramai juga pengguna Facebook yang memuji Papagomo kerana melindungi adik-adiknya.
Mempertahankan tindakannya, Papagomo berkata, beliau hanya melakukan seperti mana seorang abang harus lakukan.

Noor Rashid berkata, undang-undang tidak membezakan antara orang asing dan penduduk tempatan.
"Jika kita pukul sesiapa, orang asing atau tidak, dan menyebabkan kecederaan, kita sudah melakukan kesalahan," katanya, sambil menambah, beliau belum dimaklumkan mengenai sebarang laporan polis dibuat terhadap Papagomo.


Tiada ulasan: