Selasa, 2 Februari 2016

PKR gesa Tabung Haji adakan audit telus

MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa Lembaga Tabung Haji untuk menyediakan maklumat telus bagi meredakan kebimbangan dan mengembalikan kepercayaan pendeposit.

Ini susulan selepas surat Bank Negara yang memberi amaran kepada Tabung Haji bahawa asetnya semakin berkurangan berbanding liabitinya, bocor minggu lalu.

“Sehingga ke hari ini, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim masih tidak mendedahkan butiran atau menafikan dakwaan berkenaan nisbah aset:liabiliti 98:100.

“Merujuk kepada seksyen 22 Akta Tabung Haji 1955, Lembaga Tabung Haji tidak boleh mengumumkan jumlah kutipan dividen, berikutan jumlah aset yang kurang daripada jumlah liabiliti.

"Pendeposit berhak untuk mengetahui sama ada mereka akan diberi dividen," kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Azeez adalah Ahli Parlimen Umno bagi kerusi Baling.

Katanya sementara laporan kewangan Tabung Haji berakhir Disember 2015 belum dikeluarkan, setiap data seperti butiran saham, hartanah, kewangan, sukuk dan nilai aset seharusnya boleh diakses oleh orang awam.

“Pengerusi Tabung Haji perlu mengetahui jumlah keseluruhan yang dimasukkan oleh pendeposit Tabung Haji.

“Hal ini merupakan perkara asas yang wajib ditunaikan oleh pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji bagi mengelakkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan pendeposit Tabung Haji,” katanya.

Tiada ulasan: