Isnin, 8 Februari 2016

Peruntukan 2016 HIJRAH RM31 juta kerana bayar balik tinggi

OLEH : NAZLI IBRAHIM


SUNGAI BULOH,: Kerajaan Negeri menambah lagi peruntukan bagi program pinjaman usahawan di negeri itu sebanyak RM31 juta tahun ini ekoran sambutan sangat menggalakkan usahawan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata jumlah itu diputuskan selepas mengambil kira prestasi bayaran balik peminjam HIJRAH yang tinggi sehingga mencecah 98 peratus pada tahun lalu.

“Kerajaan Negeri tidak perlu lagi menambah RM100 juta lagi sama seperti tahun lalu kerana disiplin bayaran balik usahawan kita yang meminjam sangat baik hingga mencecah 98 peratus bayaran balik.

Makan Malam Meraikan Usahawan HIJRAH (ASRI) (2)“Kerajaan Negeri bukan mengecilkan peruntukan untuk HIJRAH tetapi kewangan yang ada mencukupi untuk HIJRAH terus beri bantuan kepada usahawan,” kata Dr Daroyah ketika merasmikan Malam gemilang Usahawan Hijrah Selangor Cawangan Subang di Kelab Golf Bukit Rahman Putra di sini, malam tadi.

Jelasnya, prestasi bayaran balik yang tinggi itu membolehkan kedudukan kewangan tabungan pinjaman tanpa faedah itu sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan sekaligus boleh dimanfaatkan kepada peminjam baru.

Dr Daroyah turut melahirkan keyakinan sasaran seramai 1,000 peserta bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya dicapai.

Katanya lagi, kira-kira 18,000  usahawan seluruh Selangor sudah menerima bantuan pinjaman daripada skim HIJRAH.

Sementara itu, majlis Malam Gemilang Usahawan Hijrah Selangor Cawangan Subang malam tadi yang dihadiri kira-kira 500 peserta berlangsung meriah dengan pelbagai persembahan menarik.

Antara yang mengadakan persembahan malam tadi, Nash Lefthanded yang menyampaikan beberapa buah lagu terkenal ‘Pada Syurga Di Wajahmu’.

Selain Nash, gitaris lagenda negara yang juga pemain gitar utama kumpulan Lefhhanded, Man Kidal turut mempersembahkan petikan gitar solo lagu Hindi yang popular menerusi filem Dilwale iaitu Janam Janam.
EZY


Tiada ulasan: