Khamis, 4 Februari 2016

Pengarah Urusan Rayani Air letak jawatan

ANTARAPOS.COM


Post Pic



PETALING JAYA: Pengarah Urusan Rayani Air, Jaafar Zamhari mengumumkan peletakan jawatannya di syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu pada Rabu.

Jaafar berkata, beliau mengemukakan surat peletakan jawatan pada 13 Januari lalu selepas empat bulan memegang jawatan berkenaan.

Tambah Jaafar, beliau menamatkan perkhidmatannya bersama Rayani Air pada Jumaat lalu.

"Berdasarkan kepakaran dan pengalaman saya sebagai bekas pengawal selia Jabatan Penerbangan Awam (DCA), matlamat saya adalah membantu dalam pembentukan syarikat penerbangan ini dari segi keselamatan operasi.

"Saya telah melakukan tugas berkenaan dan Rayani Air kini sudah beroperasi. Sukacitanya ingin saya beritahu bahawa saya sekarang mempunyai prospek kerjaya lain yang perlu diberi tumpuan," katanya menerusi kenyataan kepada mStar Online pada Rabu.

Menurut Jaafar, beliau akan membuat pengumuman mengenai kerjaya baharu itu apabila tiba masanya.
Rayani Air memulakan penerbangan sulungnya pada 20 Disember tahun lalu bagi laluan Kuala Lumpur-Langkawi.

Isnin lalu, Rayani Air memperkenalkan laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, laluan ketiga selepas Kuala Lumpur-Langkawi dan Kuala Lumpur-Kota Baru.

Bagi fasa pertama, syarikat penerbangan itu akan menggunakan dua pesawat lama Boeing 737-400 bagi laluan Kota Baru, Kuching, Langkawi dan Kota Kinabalu.

Tiada ulasan: