Rabu, 24 Februari 2016

Pekebun durian akan berarak 250 km ke Parlimen bantah bauksit

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR:  Pekebun durian menggesa undang-undang lebih ketat terhadap perlombongan bauksit yang dikatakan memusnahkan tanah pertanian dan mencemarkan air diperlukan untuk tanaman mereka mengeluarkan hasil baik.
 
Pekebun di Pahang merancang untuk menghabiskan masa 2 minggu berarak sejauh 250km ke Parlimen sebagai protes terhadap impak perlombongan bauksit ke atas pengeluaran buah yang digelar “Raja buah” di Asia Tenggara itu.
 
Sebahagian daripada Pahang bertukar sejak beberapa tahun lalu akibat perlombongan bauksit berleluasa untuk memenuhi permintaan China terhadap galian itu yang menjadi bahan utama pembuatan aluminium.
 
Rakyat merungut kerana perlombongan itu menyebabkan kemusnahan alam sekitar, dan ia dikatakan punca pencemaran tanah serta menukarkan air sungai di Kuantan menjadi merah.
 
Tekanan diberikan kepada kerajaan menyebabkan larangan aktiviti perlombongan dijalankan selama 3 bulan pada awal Januari, tetapi, bagi pekebun durian seperti Che Long Che Ali, beliau bimbang keadaan sama berulang apabila arahan moratorium ditarik balik pada 15 April depan.
 
“Kita akan berarak untuk menyerahkan memorandum kepada Parlimen. Saya lakukan ini untuk diri sendiri dan generasi masa depan bagi mempertahankan alam sekitar kita,” katanya, menambah pekebun mahu undang-undang lebih ketat dikenakan terhadap perlombongan bauksit atau larangan kekal dikuatkuasakan.
 
“Pokok durian saya tidak berbuah tahun lepas. Sungai kami dan udara yang kami hirup tercemar. Orang ramai jatuh sakit,” kata Che Long.
 
Perarakan itu dijangka bermula pertengahan bulan depan.
 
Pelombong bauksit enggan memberi komen terhadap isu itu.
 
Selepas Thailand, Malaysia adalah pengeluar kedua dunia untuk buah durian, walaupun ia dilarang dibawa di kebanyakan hotel dan lapangan terbang kerana baunya, tetapi ramai penggemarnya menganggap bau itu sebahagian kelazatan ketika menikmatinya.
 
China ialah pasaran utama durian beku dan produk berkaitan buah itu.
 
Industri durian Malaysia tidak besar – angka kerajaan menunjukkan penghantaran buah durian beku ke China pada 2014 hanya kira-kira AS$1.2 juta (RM5.06 juta) akan tetapi penanamannya  jadi sumber kebanggaan negara.
 
Koh Yen Boon, penjual durian di Kuantan berkata, jualannya jatuh 30% tahun lalu kerana kekurangan pengeluaran, akibat kemusnahan alam sekitar dan semakin banyak tanah diberikan kepada pelombong bauksit.
 
“Tidak banyak durian untuk dijual. Pokok yang tinggal dipenuhi debu merah dan coklat,” katanya.
 
Pekebun menyalahkan debu itu kerana mengganggu pendebungaan, sementara aktivis alam sekitar berkata habitat burung, lebah dan kelawar – pendebunga semula jadi bunga durian – musnah apabila tanah dibersihkan bagi memberi laluan kepada perlombongan.
 
Persatuan Alam Sekitar Malaysia berkata tanah yang digunakan sebagai perlombongan mungkin jadi tidak subur kerana pencemaran logam berat, bermakna pemulihan pertanian akan mengambil masa lama dan mahal.
 
Perlombongan bauksit di Kuantan berkembang pesat sejak 2 tahun lalu apabila China beralih kepada Malaysia sebagai sumber bahan itu selepas Indonesia sebagai bekas pembekal utama mengharamkan eksport bahan berkenaan.
 
Meskipun penduduk dan aktivis amal sekitar mendesak perlombongan di Kuantan dihentikan sepenuhnya, pegawai industri perlombongan menjangkakan aktiviti itu akan bersambung semula selepas larangan 3 bulan tamat.
 
“Kami menjangkakan perlombongan akan bermula semula, dan berharap peraturan mencukupi digunakan untuk menyekat sebarang kesan terhadap alam sekitar, terutama daripada perlombongan haram,” kata Presiden Kelab Perlombongan Malaysia Keith Vaz.
 
 

Tiada ulasan: