Isnin, 22 Februari 2016

Pas mahu kerajaan segera perhalusi MKN

Tuan Ibrahim


SHAH ALAM – Pas mendesak kerajaan serta Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk memperhalusi beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia bagi membuktikan bahawa kerajaan menghormati dan menjunjung Rukun Negara ke-2 iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

“Pada 18 Februari lalu, Apandi berkata, beliau akan mengkaji semula beberapa seksyen di bawah Rang Undang-undang MKN. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, beliau mengambil maklum mengenai desakan Raja-Raja Melayu.

“Diharap Najib dan Apandi tidak menggunakan taktik membisu dan lupa sehingga saranan Majlis Raja-Raja dilupakan sama sekali. Perlu beri komitmen meminda Akta MKN selaras saranan Majlis Raja-Raja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau dalam pada itu menyatakan sokongan Pas terhadap saranan yang dibuat oleh Majlis Raja-raja itu.

“Kami desak agar Apandi dan Najib berhenti mendiamkan diri dan serta menunjukkan komitmen bahawa RUU MKN akan diperhalusi mengikut saranan Majlis Raja-Raja dengan memperincikan pindaan yang dijangka dibuat dan tarikh pindaan akan dibentang semula di Dewan Rakyat, Parlimen,” katanya lagi.

Di samping itu, pihaknya turut memohon Majlis Raja-Raja meminta Apandi menilai semula keputusannya untuk mengetepikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap skandal derma RM2.6 bilion dan SRC International yang dimasukkan ke duit peribadi Najib.

“Isu ini masih penting kerana persoalan yang masih membelenggu rakyat adalah apakah SPRM yang membersihkan Najib daripada sebarang tuduhan atau Apandi sendiri yang mengambil keputusan berlainan daripada hasil siasatan SPRM? Jika SPRM menyarankan agar Najib didakwa, apa pula alasan Apandi untuk bertindak sebaliknya?” soalnya

Tiada ulasan: