Selasa, 16 Februari 2016

Pas letak calon bukan Islam untuk checkmate DAP

Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak


KUALA LUMPUR - Langkah Pas meletakkan calon bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada April ini dipercayai untuk membuat checkmate terhadap usaha DAP yang mula menurunkan calon Melayu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, percubaan kedua Pas itu dilihat sebagai satu peringatan kepada DAP bahawa parti Islam itu mampu mencabar musuh ketatnya walaupun bersendirian.

“Apabila DAP meletakkan calon-calon Melayu untuk berlawan dengan Pas ataupun Umno, ia akan memberi kesan kepada kedua-dua parti itu jika bertanding. Bila DAP meletakkan calon Melayu, Pas juga sebenarnya bersedia untuk meletakkan calon Cina.

“Kita lihat bahawa pertelagahan antara Pas dengan DAP ini masih belum selesai dan pilihan raya kali ini akan menjadi medan di mana masing-masing beradu kekuatan dan strategi iaitu untuk memastikan lawan mereka kalah atau menang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan bahawa parti Islam itu akan bertanding di 11 kerusi Dun Sarawak dan mengetegahkan calon bukan Islam untuk bertanding dalam pilihan raya negeri itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa juga berkata, strategi Pas itu dijangka memecahkan undi kepada pembangkang jika parti Islam itu meletakkan calonnya di kawasan luar bandar sekaligus memberi kelebihan kepada BN.

“Kalau Pas meletakkan calonnya di kawasan DAP, sudah pasti ia akan memberikan satu kelebihan kepada BN, sebab undi akan pecah di kalangan mereka yang mengundi pembangkang, kerana mungkin ada yang mengundi Pas.

“Kalau Pas bertanding, Pas akan mengambil undi pembangkang, undi yang biasanya diberikan kepada parti-parti pembangkang, kerana BN Sarawak sangat kuat, di mana mempunyai penyokong setia yang kuat,” ujarnya.

Ditanya mengenai keberkesanan strategi Pas mengetengahkan calon bukan Islam, beliau bagaimanapun berkata ia bergantung kepada kawasan mana yang ditandingi Pas.

“Kalau benar Pas ingin bertanding di kawasan yang majoritinya Melayu, sudah tentu undi Cina itu akan pergi kepada DAP, kalau pergi pada dia pun tak semua, sebab Pas meletakkan calon bukan Melayu, bermakna pengundi ada pilihan.

“Peluang Pas tidak begitu tinggi di Sarawak, sebenarnya memang tipis, adakah motifnya meletakkan calon hanya untuk memecahkan undi dan siapa yang akan menerima kesan buruk dan siapa yang akan dapat faedah, itu kita tak tahu,” katanya lagi.

Tiada ulasan: