Khamis, 18 Februari 2016

Now minta semak semula akta rasuah

Now minta semak semula akta rasuah
Akmal pada sidang media, mahu Peguam Negara semak semula Akta Suruhajaya Pencegahan Rasuah 2009.




KUALA LUMPUR – National Oversight and Whistleblowers (Now) menggesa Peguam Negara menyemak semula cadangan dan usaha penambahbaikan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Pengarah Now, Akmal Nasir berkata, bagi usaha penambahbaikan, aspek kehidupan mewah melampaui kemampuan boleh dijadikan asas siasatan dan bukti rasuah.

Menurut Akmal, setakat ini, Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang berkaitan ‘kuasa untuk memperoleh maklumat’ mengehadkan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Melalui seksyen tersebut, kuasa untuk memperolehi maklumat hanya untuk memaksa mereka yang sedang disiasat salah laku dan penyelewengan untuk mengisytiharkan harta dengan notis sekadar membantu siasatan.

“Mengambil contoh pendedahan yang dibuat oleh Now, walaupun disokong dengan fakta dan bukti, mereka yang disyaki terlibat dengan skandal masih bebas dan gagal dikaitkan dengan sebarang kesalahan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Menurut Akmal, kemewahan melampaui batas wajar dijadikan asas bagi membolehkan siasatan salah laku dan penyelewengan dijalankan sekali gus meningkatkan tahap integriti dalam usaha melawan rasuah.

“Melalui aspek ini, siasatan boleh dijalankan terhadap mana-mana individu yang kehidupan mewahnya melampaui kemampuan. Ini termasuk menteri, ahli politik, pegawai kerajaan dan pekerja swasta.

“Menjadi tanggungjawab setiap individu membuktikan pendapatan dan kekayaan diperolehi melalui cara yang sah di sisi undang-undang,” katanya.

Menurut beliau, jika individu itu gagal menjelaskan bagaimana harta dan kemewahan diperoleh, kehidupan melampaui kemampuan cukup dijadikan bukti sebagai sebagai rasuah dan penyelewengan.


Tiada ulasan: