Ahad, 14 Februari 2016

MIC minta pinda Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan Dan Pembubaran) 1976

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic



KUALA LUMPUR: MIC hari ini meminta agar kerajaan meminda Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan Dan Pembubaran) 1976 agar penukaran agama tidak dijadikan alasan oleh pasangan bercerai untuk menafikan hak isteri dan anak-anak.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, ia perlu bagi mengelakkan berlaku lagi kes seperti isu penjagaan anak S Deepa apabila suaminya Izwan Abdullah memeluk Islam.

"Kita (MIC) akan minta pindaan Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan Dan Pembubaran) 1976 sebagai satu langkah supaya ia akan beri penjelasan kepada proses ini supaya mereka tidak gunakan penukaran agama sebagai langkah menafikan hak kepada isteri dan anak-anak mereka dan perkara ini akan dibincang di peringkat berpatutan supaya ini boleh dilakukan secara cepat," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MIC di ibu negara sebentar tadi.

Katanya, beliau telah bertemu dengan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, bagi mencari penyelesaian kepada kes berkenaan.

"Beberapa cadangan telah diberikan kepada Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali mengenai pindaan kepada beberapa akta sedia ada sebagai penyelesaikan lengkap berkaitan perkara ini," katanya.

Katanya, pindaan itu bagi mengelakkan tiada lagi pihak yang akan menggunakan isu penukaran agama sebagai langkah bagi menafikan hak antara ibu dan anak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu perebutan hak penjagaan anak di antara S Deepa dan Izwan Abdullah yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dengan memberikan S. Deepa hak penjagaan ke atas anak perempuannya Sharmila (Nurul Nabila) tetapi memberikan hak penjagaan anak lelaki mereka Mithran (Nabil), kepada Izwan.

MIC sebelum ini memutuskan untuk tidak mengaitkan isu agama terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bersabit kes perebutan hak penjagaan anak di antara M. Indira Ghandi dan bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah yang turut menukar agama ketiga-tiga anaknya kepada Islam.

Tiada ulasan: