Khamis, 18 Februari 2016

Mat Sabu dilapor sifatkan orang Melayu bodoh, bahalol

Beliau kecewa kerana orang Melayu kelas pertengahan menjadi penyebab kemenangan BN pada PRU13.

mat-sabu-melayu


PETALING JAYA: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu atau Mat Sabu dilapor menyifatkan orang Melayu sebagai bodoh, ba­ngang dan bahalol dalam ceramah di Majlis Rumah Terbuka Pakatan Pembangkang Sempena Tahun Baharu Cina, di Sungai Petani, malam tadi.

Semuanya gara-gara orang Melayu terutamanya kelas pertengahan yang didakwa menjadi penyebab kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU13) lalu, lapor Utusan Malaysia.

“Yang paling saya kecewa ialah kelas pertengahan Melayu. Mereka inilah yang susah berubah. Makan gaji sikit, jadi pegawai kerajaan sikit, pertahan pemerintah rasuah. Ini yang saya marah, saya baling mikrofon malam itu ( di hadapan Penjara Sungai Buloh).

“Tahun 2013, undi Melayu turun sedikit. Meningkatnya soko­ngan kepada kita sebanyak 52 pe­ratus kerana undi orang Tionghua dan orang India. Tahniah kepada kaum Tionghua atas kesedaran politik.

“Orang Melayu kenapa tak mahu berubah? Takutkah kalau UMNO jatuh, Cina perintah Malaysia? Kenapa bodoh, bodoh, bodoh?, kata­ Mat Sabu sambil disambut sorakan dan tepukan daripada kira-kira 250 hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina, lapor akhbar itu.

Ke­tua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut hadir pada majlis itu.

Akhbar itu mendakwa, Mat Sabu turut membuat tuduhan keras terhadap pegawai kerajaan.

“Apabila orang Cina hendak ambil alih Malaysia melalui pilihan raya boleh atau tidak? Tetapi berapa ramai pegawai kerajaan boleh percaya? Bangang bin bodoh bin bahalol.

“Tak boleh! Orang Cina hanya boleh memerintah sama ada bersama BN atau pakatan pembangkang. Tak boleh mereka memerintah sendirian,” katanya.

Mat Sabu dilaporkan menuduh, semua itu adalah ‘racun’ yang dima­sukkan Biro Tatanegara dan polis Cawangan Khas (SB).

“SB kerjanya itulah, bawa bekas ahli DAP, Razali (Mohamed Razali Abdul Rahman) diiringi oleh polis pergi berbohong pegawai kerajaan,” lapor akhbar itu.

Utusan juga melaporkan Mat Sabu membuat perbandingan mengenai sikap rakyat negara ini yang menolak demonstrasi sebagai cara menjatuhkan pemimpin di sesebuah negara.

“Di Filipina rakyat berdemonstrasi hingga Marcos jatuh. Di Indonesia, para pelajar berdemonstrasi sehingga mati enam orang tetapi akhirnya menjatuhkan Suharto dan memulakan era demokrasi.

“Di Thailand rakyat berdemonstrasi menjatuhkan Yingluck Shinawatra sementara di Burma mereka tumbangkan rejim tentera. Rakyat Malaysia bila? Demonstrasi pun tak mahu, pilihan raya pangkah lagi BN. Bodoh, bangang, ba­halol,” kata Mat Sabu seperti dilaporkan akhbar UMNO itu.

Tiada ulasan: