Jumaat, 12 Februari 2016

Mara akan jelaskan bayaran penajaan pelajar

 Annuar Musa


IPOH - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menjelaskan bayaran penajaan bernilai RM264 juta kepada lebih 11,000 pelajarnya yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Mara (Ipma)  pada penghujung Februari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kelewatan pembayaran itu disebabkan Mara perlu melakukan pelarasan terhadap pelbagai perkara termasuk urusan tajaan pelajar sedia ada.

"Pembayaran tersebut tertakluk kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Ipma bagi sesi pengambilan Julai/September 2015.

"Sementara bagi pelajar sesi Januari 2016, keputusan rasmi berkaitan penajaan akan diketahui pada penghujung Mac depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Ramah Mesra Bersama Warga Mara Perak, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) Kampus Tasek, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelajar Ipma bagi sesi Julai/September 2015 dan Januari 2016 itu ditaja berdasarkan syarat yang telah ditetapkan dibawah Status Ekonomi Sosial (SES).

"Bagi pelajar dari keluarga berpendapatan melebihi RM8,000 sebulan dan ke bawah layak dipertimbangkan untuk terima penajaan penuh meliputi yuran dan elaun sara hidup (ESH).

"Manakala, bagi pelajar dari keluarga berpendapatan melebihi RM8,001 hingga RM15,000 sebulan  pula layak dipertimbangkan untuk mendapat sebahagian penajaan sama ada yuran pengajian atau ESH," katanya.

Beliau berkata, Mara turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa agensi tersebut telah menghentikan tajaan terhadap pelajarnya disebabkan kegawatan ekonomi.

"Untuk pengetahuan semua, Mara pada ketika ini sedang menaja lebih 75,000 pelajar yang mengikuti pengajian dalam dan luar negara meliputi program persediaan seperti Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Profesional, Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD)," katanya. 

Katanya, kerajaan juga prihatin dan sentiasa membantu Mara dalam menyelesaikan pelbagai perkara terutama membabitkan bayaran penajaan.

"Pada tahun lepas, kita terima daripada kerajaan sebanyak RM2.12 bilion bagi menguruskan penajaan ini dan jumlah berkenaan tidak pernah dikurangkan malahan meningkat setiap tahun," katanya.


Tiada ulasan: