Selasa, 23 Februari 2016

MAIWP dibenar jadi pencelah dalam permohonan SIB

MALAYSIAKINI






Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) berhubung hak menggunakan kalimah 'Allah' dalam semua penerbitan agamanya.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Mohammed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili MAIWP, dan Lim Heng Seng dan Annou Xavier yang bertindak bagi pihak SIB.

Mohammed Haniff ketika ditemui pemberita berkata berikutan keputusan itu, MAIWP akan menjadi responden ketiga dalam permohonan semakan kehakiman SIB. Responden pertama dalam kes itu ialah Menteri Dalam Negeri manakala kerajaan Malaysia sebagai responden kedua.

"Kami berhujah bahawa MAIWP mempunyai kepentingan langsung dalam relif yang diminta oleh pemohon (SIB) mengenai penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan agama mereka di negara ini.

"Sama ada pemohon mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan kalimah itu dalam sembahyang dan penerbitan agama mereka, ia mempunyai kesan langsung kepada masyarakat Islam," katanya.

Mohammed Haniff berkata MAIWP sebagai agensi kedua tertinggi selepas Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan mempunyai kepentingan secara langsung untuk diberi kebenaran mencelah dalam prosiding itu.

"MAIWP telah ditubuhkan untuk membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara yang berkaitan dengan Islam di negeri ini.

"MAIWP mempunyai tanggungjawab dalam semua perkara yang berkaitan dengan Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan, termasuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan Undang-undang Islam dan pentadbiran keadilan," kata peguam itu.

Beliau memberitahu bahawa 1 Mac ini ditetapkan untuk pengurusan kes itu.

Pada 1 Oktober 2014, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada SIB untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman berhubung hak menggunakan kalimah 'Allah' dalam semua penerbitan agamanya selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Mei 2015 yang menolak permohonan gereja bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman.

Pada 10 Disember 2007, SIB dan presidennya Rev Jerry W A Dusing alias Jerry W Patel memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap Menteri Dalam Negeri dan kerajaan bagi mencabar tindakan Jabatan Kastam merampas buku yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia di Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang pada 15 Ogos 2007.

Buku berkenaan bagaimanapun dikembalikan kepada gereja itu pada 25 Januari 2008.

Mereka memohon perisytiharan bahawa mereka mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam semua penerbitan dan amalan agama mereka, bukan sahaja di gereja.- Bernama


Tiada ulasan: