Khamis, 4 Februari 2016

Mahfuz pulaukan majlis angkat sumpah Bashah

MALAYSIAKINI




Anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini memulaukan majlis angkat sumpah menteri besar Kedah yang baru Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Atas semangat kasihkan negeri dan rakyat Kedah yang sedang berduka saya mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis angkat sumpah menteri besar Kedah yang baru.

“Saya percaya rakyat Kedah akan turut sama menyumpah dan menyampah dengan gerombolan Putrajaya yang menyerang Kedah,” katanya.

Bashah (gambar), anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata hari ini mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah yang baharu di Istana Anak Bukit di Alor Setar.

Menteri besar Kedah ke-12 itu melafazkan sumpah memegang jawatan di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Hadir sama pada majlis itu ADUN dan anggota parlimen Kedah serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Selepas kemelut kira-kira dua minggu, Bashah semalam diumumkan menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang meletakkan jawatan selepas ditolak ADUN dan BN negeri.

Penggantian menteri besar itu dikaitkan dengan serangan berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
'Cakap benar depan bos jahat'

Mahfuz dalam kenyataan hari ini berkata majlis angkat sumpah Bashah sangat berlainan kerana “dendam kesumat Putrajaya” kepada Mahathir dan Mukhriz dua beranak susulan kritikan mereka pada Najib.

“Apakah akan terjadi pada anak cucu kita dengan adanya pemimpin politik yang berdendam sehingga Mukhriz yang tidak melakukan kesalahan besar digulingkan.

“Apalah nasib rakyat Kedah dengan menteri besar baru dan barisan exco yang tiada moral dan integriti politik yang hanya menjadi pak turut membabi buta,” katanya.

Membahasakan Mukhriz sebagai “adinda saya”, Mahfuz menyatakan kesedihannya atas penyingkiran anak bekas perdana menteri keempat itu.

“Saya cukup sedih dan kecewa dengan pemimpin politik seperti ini. Lebih sedih dan mengecewakan lagi ialah bila adinda saya Mukhriz disingkir kerana keberanian dan ketegasan beliau bercakap benar di hadapan bos dia yang 'jahat',” katanya.

Mahfuz satu-satunya pemimpin pembangkang yang ke depan menyokong kepimpinan Mukhriz, yang baginya sama seperti menolak kepimpinan Najib.


Tiada ulasan: