Khamis, 11 Februari 2016

Mahdzir Khalid ‘tak tahu’ dilantik Timbalan Pengerusi UMNO Kedah

 
Bagaimanapun beliau akan menjalankan tanggungjawab membantu Ahmad Bashah mengembalikan keyakinan rakyat Kedah kepada BN.


Mahdzir-Khalid_kedah_umno_600


PUTRAJAYA: Datuk Seri Mahdzir Khalid nampaknya tidak tahu-menahu tentang pelantikannya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.

“Bila? ? Jadi apa? Saya tak sempat baca (kenyataan),” tanyanya kembali kepada wartawan ketika diminta mengulas tentang pelantikan yang berkuatkuasa hari ini.

Selepas mendapat penjelasan, Menteri Pendidikan itu kemudian menyifatkannya sebagai satu lagi tanggungjawab besar yang harus dipikul terutama selepas krisis yang melanda negeri itu.

“Saya ucap terima kasih kepada presiden parti atas perlantikan ini. Saya akan membantu Pengerusi (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media selepas sesi taklimat di PPD Putrajaya pagi tadi.

Katanya lagi, perkara utama yang perlu dilakukan barisan kepimpinan baru adalah untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri.

“Untuk dalam parti, kita kena buat program yang komprehensif. Di luar parti kita juga kena buat program untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan sekarang bersama mereka,” katanya lagi.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan pagi tadi mengumumkan Ahmad Bashah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang baru menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Mahdzir sebagai timbalannya, berkuatkuasa hari ini.

Tiada ulasan: