Ahad, 14 Februari 2016

Lantik Haron Din: Bukti kerajaan terima dasar Pas

Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh Nik Abdul Aziz


KUALA LUMPUR – Pelantikan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din sebagai ketua kluster dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) membuktikan segala usaha parti Islam itu selama ini termasuk Islam sebagai dasarnya telah diterima baik oleh Kerajaan Malaysia.

Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pemilihan tokoh Pas itu ke dalam organisasi berkepentingan kerajaan itu juga merupakan satu pengiktirafan kepada parti Islam itu.

“Kami ucapkan tahniah kepada pihak kerajaan kerana telah memilih Datuk Dr Haron Din. Apabila beliau dipilih, maknanya usaha-usaha Pas itu (selama ini) diterima oleh pihak kerajaan.

“Kami harap ia merupakan satu langkah yang positif untuk Pas bersama rakyat Malaysia bagi kita memulakan wacana lebih terbuka dan kefahaman Islam,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Haron sebagai pengerusi kluster dakwah MPI oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang diadakan pada Jumaat lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Haron Din dilantik ketua kluster dakwah MPI]

Dalam pada itu, Mohamad Abduh berkata, penglibatan pemimpin Pas dalam mana-mana sektor kerajaan menunjukkan Pas tidak hanya terlibat dalam politik semata-mata.

“Kami sentiasa ulang kepada masyarakat bahawa kami turut terlibat dalam usaha-usaha dakwah memperkenalkan Islam yang sempurna dan komprehensif kepada rakyat Malaysia sebagai satu cara hidup,” katanya.


Tiada ulasan: