Rabu, 3 Februari 2016

[KEMASKINI] Mukhriz : 'Mereka mahu tutup mulut saya'

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa beliau jatuh sebagai Menteri Besar Kedah kerana menjadi mangsa gerakan untuk menutup mulutnya dan bukan kerana prestasinya sebagai ketua kerajaan negeri.  
 
"Saya dimaklumkan bahawa saya telah kehilangan sokongan majoriti di dalam DUN apabila undian sulit di hadapan Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah diperoleh dari kesemua ADUN BN dan pembangkang,” kata beliau pada sidang media sebentar tadi.
 
"Perkara ini terpaksa dilakukan akibat daripada gerakan untuk menjatuhkan saya dari jawatan tertinggi kerajaan negeri, sekaligus cubaan menutup mulut saya dari terus menjadi suara rakyat dalam pelbagai isu nasional,” tambah beliau.
 
Mukhriz menuduh sebilangan besar pemimpin Umno Kedah sebagai mendalangi usaha penyingkiran beliau yang menurutnya “tidak munasabah.”
 
"Lebih dikesali, tindakan mereka itu telah mengheret pihak istana ke kancah politik dalaman Umno," katanya.
 
Mukriz menolak hujah-hujah yang diberikan oleh Timbalan Ketua Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah, untuk beliau melepaskan jawatan MB itu.
 
“Dari waktu perlantikan saya...saya telah melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan integriti...tidak sekali-kali mencemar kedaulatan Kesultanan Kedah dan maruah rakyat,” kata Mukhriz.
 
“(Namun) bagi mengelak kemelut ini berpanjangan sehingga menjelas pentadbiran negeri dan merugikan rakyat, maka saya mengambil pendirian untuk melepaskan jawatan sebagai MB Kedah,” kata beliau.  
 
Mukhriz hadir di sidang media itu bersama dua Exco kerajaan negeri Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Aminuddin Omar.
 
Mukhriz  juga menafikan beliau dipaksa untuk meletak jawatan sebagai MB. Sebaliknya beliau menolak tawaran untuk dilantik sebagai timbalan menteri.
 
Beliau menegaskan akan tetap setia kepada Umno walaupun tanpa sebarang jawatan.
 
Dalam pada itu, Mukhriz turut mengumumkan perletakan beliau sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
 
Mukhriz berkata beliau tidak memaklumkan kepada bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai keputusannya untuk meletak jawatan.
 
Ahmad Bashah akan mengangkat sumpah esok sebagai MB baru dan beliau di jangka merombak barisan Exconya yang membabitkan wakil Umno.
 
 

Tiada ulasan: