Jumaat, 19 Februari 2016

Kedai ‎makan terlalu kotor kena tutup

Kedai ‎makan terlalu kotor kena tutup
Sebuah premis yang dikenakan tindakan penutupan kerana didapati terlalu kotor dalam pemeriksaan dilakukan MPSJ.
 


PUCHONG - Sebanyak 54 kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada pengusaha kedai makanan di Jalan Kenari, Bandar Puchong Jaya berikutan gagal mematuhi syarat lesen perniagaan.

Dalam operasi dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut oleh Jabatan Kesihatan MPSJ, empat premis diarah tutup kerana terlalu kotor dan gagal mencapai pemarkahan pemeriksaan memuaskan.

Pegawai Komunikasi Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, pihaknya memeriksa 85 daripada 106 premis makanan yang terletak di kawasan itu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 21 premis didapati tidak beroperasi ketika pemeriksaan dijalankan.

Hasil pemeriksaan mendapati, ada pengusaha tidak menjalankan langkah-langkah kawalan serangga perosak, membiarkan stor makanan dalam keadaan kotor serta tidak diselenggara.

Muhammad Azli berkata, pengusaha juga didapati meletakkan bahan mentah di atas lantai selain gagal memastikan perangkap gris diselenggara sempurna.

“Kompaun dikeluarkan atas kesalahan pelbagai, premis yang terlalu kotor disita dan diarah tutup sehingga kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Menurutnya kesemua premis yang diperiksa diberikan gred, sebanyak 26 premis dikategorikan Gred A, 37 premis diberi Gred B manakala selebihnya 12 dilabel sebagai premis Gred C.

“Majlis turut mengeluarkan 60 notis pembersihan dan mengambil tindakan penutupan terhadap empat premis di bawah UUK3(1)- Undang-undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MPSJ 2007),” katanya.


Tiada ulasan: