Ahad, 14 Februari 2016

Jemputan hanya kepada Nasruddin dan Dr Rani, kata PAS

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic



KUALA LUMPUR: Jemputan untuk menghadiri Himpunan 365 #BebasAnwar #BebasRakyat yang dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hanya diberikan kepada Ketua Penerangan PAS Pusat dan ADUN PAS dan bukannya kepada PAS Pusat.

Demikian penjelasan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan terhadap kenyataan penganjur perhimpunan, Dr. Badrulamin Bahron daripada Pro98 Reformis Malaysia yang menyatakan PAS dijemput untuk menghadiri himpunan berkenaan.

"Setakat ini disahkan oleh Badrulamin dia hanya hubungi dua orang melalui Whatsaap itu pun melalui Ketua Penerangan (Nasruddin Hasan) dan ADUN Meru (Dr. Rani) itu sahaja. Kita (kepimpinan) tidak dihubungi, kalau ada kita akan hantar paling tidak wakil," jelas Takiyuddin.

Semalam Badrulamin mengeluarkan kenyataan bahawa NGO berkenaan menafikan pihaknya tidak menjemput pemimpin PAS untuk menyertai himpunan sempena setahun bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan setelah didapati bersalah meliwat.

"Kami tidak mengetahui dan hanya mengetahui program ini di saat-saat akhir melalui media sahaja. Kami berada di pelbagai tempat, saya berada di Kelantan dan Datuk Tuan Ibrahim di Kedah dan kita tidak berkemampuan untuk pergi ke himpunan berkenaan. Apapun PAS berpendirian bahawa apa sahaja isu mengenai keadilan apa pun kita bersama dengan mana-mana pihak," katanya.

Rabu lalu Takuyiddin mengesahkan parti itu tidak menerima sebarang jemputan untuk menyertai Himpunan 365 #BebasAnwar #BebasRakyat yang diadakan di hadapan pintuk masuk penjara Sungai Buloh.

Himpunan berkenaan hanya dihadiri pemimpin PKR antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mat Akin.

Tiada ulasan: