Sabtu, 13 Februari 2016

Izzah: Anwar Menteri Kewangan terbaik 1996, Najib terburuk 2015

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SUNGAI BULOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya merasa malu dan meletak jawatan kerana kegagalan beliau menguruskan ekonomi dan kewangan hingga hampir melumpuhkan sistem pertahanan ekonomi negara.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata prestasi buruk dan memalukan negara itu menyebabkan Najib dipilih sebagai Menteri Kewangan Asia terburuk dalam satu laporan dikeluarkan portal kewangan antarabangsa, FinanceAsia baru-baru ini.

nurul izzah KLSCAH 01“Kalau Najib dianugerahkan Menteri Kewangan Asia dengan prestasi terburuk, Anwar pula pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Asia terbaik pada 1996,” katanya pada Himpunan 365 #BebaskanAnwar di hadapan Penjara Sungai Buloh di sini.

Katanya, Najib berterusan membentangkan belanjawan defisit yang meningkat setiap tahun sekaligus menjadikan hutang negara bertambah, berbanding di era Anwar sebagai Menteri Kewangan dengan kejayaan negara mengurangkan hutang dan menikmati lebihan belanjawan.

Pada 1996, selain dinobatkan sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia oleh AsiaMoney, EuroMoney pula menamakan Anwar sebagai antara empat Menteri Kewangan terbaik di seluruh dunia.

Asiamoney dan Euromoney masing-masing merupakan antara majalah pengurusan dan kewangan paling berpengaruh dan menjadi sumber rujukan ahli ekonomi seluruh dunia.

Manakala pada 1998, satu lagi majalah antarabangsa yang juga berpengaruh, Newsweek turut menamakan Anwar sebagai ‘Asian of The Year’.

Prestasi kewangan negara yang sangat memberangsangkan di bawah Anwar turut menjadi faktor beliau dipilih menduduki jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa dari Mac 1998 hinggalah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 sekaligus menyebabkan jawatan itu terlepas secara automatik.-nR-


Tiada ulasan: