Ahad, 14 Februari 2016

Isu pekerja asing: Budaya negara turut terkesan

pekerja asing
Sekadar gambar hiasan.


SHAH ALAM – Cadangan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh berkemungkinan memberi kesan besar daripada aspek budaya di negara ini, kata Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr Rosila Bee Mohd Hussain.

Beliau berkata, meskipun kehadiran pekerja Bangladesh itu dilihat positif dari sudut ekonomi negara, impak yang lebih besar terutama kepada masyarakat perlu diambil kira.

“Soal budaya ini isu utama. Kita bawa masuk pekerja asing, budaya luar masuk. Budaya sedia ada pun, ada mengambil masa bertahun-tahun yang perlu kita tangani, ini ditambah lagi dengan budaya luar yang ada kalanya mewujudkan ketidaksefahaman dalam masyarakat.

“Bila tidak ada kesefahaman, akan wujud salah faham dan pertengkaran yang akhirnya akan mewujudkan perkara yang lebih memudaratkan seperti soal keselamatan, jenayah dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam soal ini, impak negatif kepada kehidupan seharian masyarakat akan menjadi lebih ketara berbanding kesan positif.

“Kebiasaannya akan wujud isu bertentangan dengan apa yang dirasakan masyarakat kita dengan golongan ini.

“Contohnya sesuatu yang bukan amalan kita, pada mereka ini perkara normal tetapi pada perspektif masyarakat kita tidak. Walaupun ini benda kecil, akhirnya boleh menjadi besar,” katanya.

Beliau berharap sebelum sesuatu perkara itu diputuskan, penelitian mendalam dilakukan dengan mengambil kira pandangan pelbagai sudut, termasuk masyarakat.

“Ini kerana masyarakat yang akan berhadapan dengan semua ini. Kebiasaannya apa yang dilontarkan mereka kurang didengari,” katanya

Tiada ulasan: