Ahad, 21 Februari 2016

Isu Bangladesh: Rakyat keliru tindakan kerajaan

Bangladesh
Gambar hiasan


SHAH ALAM - Perubahan maklumat dan tindakan yang sering berubah-ubah oleh kerajaan dalam isu pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh hanya akan mengelirukan rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, penarikan balik keputusan setelah pengumuman dibuat memperlihatkan seolah-olah kerajaan tidak ada sistem.

“Masalah kerajaan hari ini ialah penyaluran maklumat sering berbeza-beza dan tindakan yang juga berubah-ubah. Rakyat akan melihat seolah-olah kerajaan yang ada ini lemah.

“Keputusan serta ulasan yang berbeza antara seorang menteri dengan menteri lain hanya akan menjadikan rakyat keliru. Ini boleh membawa kepada masalah dari segi dasar dan pelaksanaan,” katanya.

Menurut Md Shukri, sudah tiba masanya kerajaan membentuk sekretariat jurucakap dasar dan pengumuman penting kerajaan.

“Jika banyak menteri dan tokoh bercakap, lagi banyak kesilapan fakta boleh berlaku.

“Kabinet pula perlu konsisten dalam pengumuman dasar dan tindakan. Jangan biarkan isu seperti ini berterusan kerana pembangkang mudah memanipulasi isu sebegini bagi mencemarkan imej  menteri dan kerajaan,” jelasnya.

Katanya, kerajaan Persekutuan bukan seperti program Akademi Fantasia yang berkisar soal undi dan siapa yang popular.

“Perdana menteri dan timbalannya tidak boleh dilihat seolah-olah bersaing antara satu sama lain dalam hal siapa popular.

“Mereka berdua harus saling membantu. Jika ada tindakan dilaksanakan seolah-olah hendak menjatuhkan seseorang pemimpin, maka ia akan merosakkan BN itu secara keseluruhan,” katanya.


Tiada ulasan: