Jumaat, 19 Februari 2016

IGP beri demo anti Najib amaran, ingatkan Zaid latar guamannya

MALAYSIAKINI




Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim mengundang amaran keras daripada pihak polis berikutan gesaaannya supaya satu perhimpunan untuk mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketika memberi amaran itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan Zaid bahawa beliau adalah seorang peguam dan harus sedar apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang.

"Biar saya beri amaran kepada beliau sebagai seorang peguam, beliau perlu tahu cara yang sah mengikut undang-undang untuk menukar perdana menteri sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan (persekutuan).

"Jika beliau sudah lupa, biarlah saya ingatkannya bahawa caranya adalah sama ada melalui pilihan raya umum atau undi tidak percaya di Parlimen. Selain itu, tindakan lain adalah menyalahi undang-undang," katanya kepada Malaysiakini.

Khalid berkata bekas menteri Umno itu akan berdepan dengan tindakan undang-undang beliau meneruskan rancangannya untuk mengadakan perhimpunan pada 27 Mac depan.

Beliau mengulas gesaan Zaid supaya rakyat menghadiri perhimpunan itu dan berdiri teguh di belakang Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkempen secara lantang menentang Najib.

Dalam tulisannya di blog, Zaid berkata keadaan negara sekarang tidak boleh dibenarkan berterusan dan sudah terlalu lama rakyat diselubungi ketakutan berikutan beberapa tindakan oleh Najib.

Beliau juga menuduh Najib melumpuhkan institusi awam dengan melantik hanya ‘pak turut’ menganggotai badan-badan seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Menteri dan pegawai tinggi kerajaan menutup mata terhadap perbuatannya ini kerana mereka fikir beliau tidak akan bertahan lama. Mereka langsung tidak menyedari bahawa ini amat merosakkan negara.

"Kita tidak boleh membenarkan keadaan ini berterusan walaupun satu minit lagi... Kita secara bersama mesti menunjukkan kepada Najib bahawa kita tidak takutnya," katanya.

Tiada ulasan: