Selasa, 16 Februari 2016

Hishammuddin perlu perinci isu pencerobohan kapal China

liewchintong03-480x300

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong kesal dengan jawapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pagi tadi berhubung pencerobohan kapal Penguatkuasa Maritim China di perairan sekitar Beting Patinggi Ali, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri.

Menganggap kenyataan Hishammuddin sebagai pelik dan membingungkan, beliau berkata Menteri Pertahanan harus memaklumkan butiran pencerobohan itu secara terperinci supaya langkah konkrit dan tegas dapat diambil semua pihak.

“Beliau perlu memaklumkan sama ada kapal itu menceroboh perairan Malaysia atau Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), iaitu zon laut yang ditetapkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

“Berapa kerapkah keadaan seperti ini berlaku dan berapa lamakah tempohnya?” kata Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan itu pada kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas maklum balas Hisammuddin bahawa kapal itu tidak lagi berada dalam perairan Malaysia dan sedang mengatur satu kunjungan hormat Duta Besar China, Dr Huang Huikang dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebagai usaha diplomatik.

Ia berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim pada November 2015 bahawa Malaysia menghantar bantahan diplomatik setiap minggu ekoran kehadiran kapal berkenaan di perairan negara.

Chin Tong berkata, rakyat perlu tahu sama ada kapal Penguatkuasa Maritim China itu melakukan laluan ikhlas (innocent passage) atau penguatkuasaan operasi serta rondaan kerana ia melibatkan keselamatan dan pertahanan negara.

“Jika ia laluan ikhlas dan China secara terbuka menyatakan kepatuhan kepada peruntukan Bangsa-Bangsa Bersatu Konvensyen Undang-Undang Laut (UNCLOS) serta menghormati tuntutan kedaulatan Malaysia di kawasan itu, ia perlu diselesaikan secara diplomatik.

“Namun, jika kapal China menjalankan operasi penguatkuasaan dan melanggar peraturan UNCLOS serta kedaulatan negara, langkah konkrit dan tegas perlu diambil bagi memastikan kapal itu segera meninggalkan perairan Malaysia dan memohon maaf secara rasmi,” katanya.

Chin Tong turut mempersoal kenyataan Hishammuddin yang mahu memudahkan pertemuan antara Duta China dan Ketua Menteri Sarawak berkenaan isu itu kerana baginya, Hishamuddin seolah-olah bertindak sebagai orang tengah.

“Mengapa Hishamuddin bertindak sebagai ‘utusan’ Adenan sedangkan isu mempertahankan kedaulatan Malaysia berada di bawah bidang kuasa persekutuan?

“Saya merupakan pendokong tegar idea desentralisasi, namun dalam negara yang menjunjung amalan desentralisasi sekalipun, isu pertahanan dan dasar luar jelas di bawah bidang kuasa pusat.

“Hishamuddin mestilah memberi jawapan lebih baik daripada yang beliau kemukakan. Jika begitulah responnya, beliau wajar meletak jawatan sebagai Menteri Pertahanan selaras dengan sistem demokrasi yang matang,” katanya.-Roketkini.com


Tiada ulasan: