Ahad, 21 Februari 2016

Chegubard ditempelak kerana isu tender balak

 
Ia merupakan fokus soal rakyat serta pembangunan dan bukan fitnah atau tohmahan


Badrul Hisham Shaharin


PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menempelak tindakan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang kononnya mahu mendedahkan penipuan bersabit tender balak.

“Isu begini anda hendak layan. Fokus soal rakyat dan pembangunan. Bukannya fitnah dan tohmahan,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina PKR di Bukit Lanjan di Bandar Seri Damansara, hari ini.

Badrul atau dikenali sebagai Chegubard mengadakan sidang media di Seremban hari ini untuk mendedahkan satu lagi kontroversi berkaitan kepimpinan Azmin.

Dalam satu kenyataan, Chegubard mendakwa, dia telah menggunakan semua saluran dalaman PKR bagi membangkitkan isu-isu terhadap Azmin, namun, tiada tindakan diambil terhadap menteri besar itu.

“Saya sedar risiko yang saya ambil kerana mendedahkan dokumen diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi.Tetapi, kita telah diajar di bawah gerakan reformasi, jika kita melihat sebarang kelemahan, ia adalah tanggungjawab kita untuk mendedahkan dan menentangnya,” tegasnya.

Selain itu, Chegubard turut mendakwa bahawa Azmin telah berbohong dalam kenyataan terdahulu, apabila mendakwa kontrak berkenaan diberi melalui tender terbuka.

“Saya sebut dengan jelas, bahawa Azmin menipu dalam perkara tersebut kerana keputusan penganugerahan balak diputuskan oleh mesyuarat yang beliau pengerusikan dan tiada tender terbuka,” ujarnya.

Tiada ulasan: