Isnin, 8 Februari 2016

Bermula skeptikal, ‘Kedai Ustaz’ kini optimis potensi Mara Digital



Kedai Ustaz di Mara Digital menjadi pilihan pelanggan kerana menawarkan harga jauh lebih rendah berbanding pesaingnya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 8 Februari, 2016. Kedai Ustaz di Mara Digital menjadi pilihan pelanggan kerana menawarkan harga jauh lebih rendah berbanding pesaingnya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.  
 
 
Nama “Kedai Ustaz” menjadi buah mulut orang ramai di media sosial selepas insiden pergaduhan di kedai telefon di Plaza Low Yat pada Julai 2015 walaupun kedai itu sebenarnya terletak kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian.

Kedai menjual aksesori telefon itu melonjak popularitinya kerana ia sejak dulu lagi dikenali menjual pada harga yang jauh lebih murah berbanding kedai-kedai lain.

Popularitinya menyebabkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri mengunjunginya selepas menggagaskan idea “Plaza Low Yat 2”.

Pemilik Kedai Ustaz, Mohd Zailani Abidin, 44, berkata beliau pada mulanya tidak yakin akan keupayaan Mara Digital untuk kelangsungan perniagaannya. "Masa itu saya tak ada rasa seronok pun sebab saya dah tahu (bangunan) Mara (Majlis Amanah Rakyat) ini punya 'style' (gaya).

"Nak pergi sana pun, memang tak boleh 'blah' punya. Daripada awal, saya bersikap negatif sebab saya tak tengok lagi.

"Bila dia (menteri) datang, saya berterus terang dengan dia, bukan saya sombong," katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insider.

Mohd Zailani Abidin mengakui pada mulanya tidak yakin akan keupayaan Mara Digital untuk kelangsungan perniagaannya tetapi kini optimis berdasarkan perkembangan perniagaan cawangan itu yang jauh lebih pantas daripada jangkaannya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 8 Februari, 2016.  
Mohd Zailani Abidin mengakui pada mulanya tidak yakin akan keupayaan Mara Digital untuk kelangsungan perniagaannya tetapi kini optimis berdasarkan perkembangan perniagaan cawangan itu yang jauh lebih pantas daripada jangkaannya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.  
 
Bekas pelukis pelan lulusan Institut Latihan Perindustrian Jalan Kuchai Lama ini berkata, beliau pada masa itu sudah sedia sibuk menguruskan perniagaannya berhampiran bazar malam Uptown Kota Damansara yang beroperasi daripada 3 lot kedai.

"Apabila menteri datang (kedai), kita seronoklah, orang besar datang jumpa kita.

"Tapi bila kita tahu nak buka itu (Mara Digital), kita rasa Mara ni memang sudah lama kita tengok, buat apa pun tak jadi. Ada sahaja masalah dia.

"Jadi apabila dia datang ke sini, saya kata nanti saya pergi periksa. Bila saya periksa, barulah saya kata setuju atau tidak," katanya menceritakan perasaan skeptikalnya.

Zailani berkata, sejarah perniagaan beliau bermula dengan membuka sebuah meja menjual aksesori telefon di tapak bazar malam Uptown Kota Damansara pada 2005.

Perniagaan itu dilakukannya serentak dengan perkhidmatan membaiki komputer yang diiklankan menerusi surat khabar.

Katanya, strategi iklan tersebut tidak banyak dilakukan orang lain pada masa itu yang kebiasaannya menguar-uarkan perkhidmatan atau jualan menerusi Internet.

"Dalam Internet persaingannya sangat hebat, tetapi (pembekal perkhidmatan) yang kita panggil itu, biasanya dia tak datang pun.

"Cakap sahaja murah, apabila sampai, sekejap lagi pusing sana pusing sini. Saya tak mahu macam itu.

"Apabila saya letak mahal, orang tak mahu. Kalau dulu RM120 saya boleh buat semua, termasuk baiki, pencetak tak jalan, rangkaian ada masalah, semua saya akan buat dengan harga itu," katanya.

Sampai kepada satu peringkat, beliau memutuskan menjual aksesori telefon sepenuh masa dan menghentikan perkhidmatan membaiki komputer.

Ini kerana beliau terpaksa menutup kedai aksesorinya setiap kali ke lokasi pelanggan bagi membaiki komputer.

Pada masa sama, Zailani memutuskan menjual aksesorinya pada harga yang rendah daripada harga pasaran kerana falsafah "penjual berjiwa pelanggan" yang dipegangnya.

Beliau juga tidak pernah berhutang atau mendapat mana-mana geran kerajaan bagi mengembangkan perniagaan yang berpindah ke lot kedai sekarang pada tahun 2013 dan dikenali sebagai Kedai Ustaz.

"Ada sesetengah orang, dia terlalu hendak cepat (berkembang) dia buat pinjaman.

"Bagi saya, ikut kemampuan. Mampu saya takat itu sahaja, saya buat ikut takat kemampuan sayalah.

"Apabila macam itu, kita rasa tiada banyak tekanan. Kalau kita buat pinjaman, kita banyak tekanan," katanya yang sering ke China bagi memesan sendiri sebahagian aksesori yang dijual di kedainya.

Ditanya tentang saiz perniagaannya kini, Zailani dengan tersenyum memberitahu setiap kali ke China beliau akan melakukan pembelian aksesori dengan nilai sekitar RM800,000.

Ditanya tentang asal usul nama 'Kedai Ustaz' pula, Zailani menjelaskan beliau dirujuk orang ramai dengan gelaran “ustaz” kerana membantu isterinya mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran di kawasan kejiranan mereka.

Mengekalkan nama sama, perniagaan Zailani kini mempunyai satu cawangan di Mara Digital yang beroperasi dari tingkat 3 Menara Mara Kuala Lumpur.

Kedainya adalah sebahagian daripada 38 usahawan Bumiputera yang menawarkan perkhidmatan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) di bangunan yang mula beroperasi pada 8 Disember 2015 itu dan diberi jolokan "Low Yat 2".

Usahawan di situ juga mendapat pengecualian bayaran sewa selama 6 bulan daripada Mara bagi membantu perniagaan mereka.

Katanya, beliau optimis dengan potensi cawangannya di Mara Digital berdasarkan perkembangan perniagaan cawangan itu yang jauh lebih pantas daripada jangkaannya.

"Saya dah buka kedai di sana dan saya yakin ia memang boleh untung.

"Ia lebih cepat daripada jangkaan saya yang sebelum ini memberitahu Mara saya perlukan sekurang-kurangnya 6 bulan untuk membuka kedai yang sempurna di mata orang ramai," katanya.

Terkini, Ismail mengumumkan, Mara Digital mencatatkan jualan mencecah RM1.7 juta selepas sebulan beroperasi.


Tiada ulasan: