Ahad, 14 Februari 2016

Belia sanggup galas pekerjaan warga Bangladesh

 
Golongan belia turut desak Zahid Hamidi menghantar pulang semula kira-kira 2.1 juta warga asing di negara ini.





SHAH ALAM: Belia menyifatkan bahawa lambakan warga asing menyebabkan golongan muda di negara ini sukar mencari pekerjaan walaupun pekerjaan itu bertaraf rendah.

Ia diakui oleh Nur Syalwani Kasrun, 18 yang menyatakan dia pernah memohon untuk bekerja di sektor perkilangan, namun majikan menolak ekoran lebih mengutamakan warga asing.

“Memang cari kerja, tetapi kerja kilang semua sudah penuh sebab warga asing. Pernah cuba minta (bekerja) tetapi dia (majikan) cakap warga asing Bangladesh baharu masuk,” ujarnya yang menetap di Klang.

Jelasnya lagi, dia secara peribadi mengakui kehadiran warga asing menyebabkan peluang pekerjaan tertutup dalam kalangan golongan belia di negara ini.

“Tidak setuju, kalau sekarang pun sudah padat, nanti kalau masuk lagi padat,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Syalwani turut memberitahu dia sanggup untuk menggantikan pekerjaan yang kini diisi warga Bangladesh, terutamanya dalam pekerjaan mencuci longkang dan juga perladangan.

“Sanggup sebab semua kotoran datang daripada diri kita sendiri, kalau kita sendiri tidak bersihkan siapa lagi yang hendak buat kerja-kerja macam itu?” soalnya yang pernah memohon pekerjaan di kilang plastik dan kilang minyak.

Perkara yang sama turut diakui oleh Mohd Amiruddin Latifuddin yang baharu sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Setuju, sebab senang rakyat Malaysia cari kerja, tidaklah merempat di tepi jalan. Saya juga sanggup menggantikan tugas warga asing,” ujarnya sewaktu diaju soalan oleh pemberita sama ada dia sanggup menggantikan pekerja Bangladesh mencuci longkang.

Ekoran itu, mereka mendesak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya menghantar pulang semula kira-kira 2.1 juta warga asing di negara ini.

Bagaimanapun, bagi Mohd Izzat Mohd Osman yang menetap di Gombak, dia tidak akan menggantikan pekerjaan yang kini digalas oleh warga asing.

“Nampak kita anak muda zaman sekarang hendak bagus. Cuci longkang semua itu kuranglah. Saya tidak akan buat kerja itu. Kita jiwa muda hendak kerja bagus, kerja-kerja yang ‘kurang’ ni tidak buat,” ujarnya yang hanya bermain bola sepak sementara menunggu keputusan SPM.

Tiada ulasan: