Isnin, 1 Februari 2016

Bekas bos SB ingatkan SPRM, jangan takut dengan gertakan

MALAYSIAKINI





Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia Datuk Abdul Hamid Bador hari ini menasihati pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar berdiri teguh dan mempertahankan integriti agensi itu.

Ini berikutan tekanan supaya tindakan diambil terhadap Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zain kerana berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menutup kes membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kepada semua pegawai SPRM saya menyeru supaya jangan sekali-kali takut dengan gertakan (atau) ugutan sesiapapun.

“Pertahankan kesucian peranan dan tanggungjawab agensi. Jalankan kerja dengan niat yang ikhlas demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil menasihati mereka supaya meneruskan tugas-tugas tanpa rasa takut dan pilih kasih, katanya, rakyat tahu menilai di antara yang baik dengan yang buruk.

Hamid tahun lalu secara tiba-tiba dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri selang beberapa hari berita bahawa perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara ditamatkan.

SPRM telah merujuk kedua-dua kes rasuah yang membabitkan Najib kepada panel kajian operasinya.

Sumber sebelum ini memberitahu Malaysiakini badan anti-rasuah mencadangkan supaya tiga pertuduhan dikenakan ke atas Najib yang disiasat berhubung ‘derma’ RM2.6 bilion dan dana RM42 juta dari firma milik negara SRC International yang disalurkan ke akaun banknya.

Kenyataan Bahri mengenai untuk ‘merayu’ keputusan peguam negara itu menerima ‘serangan’ dari blog pro-Umno, termasuk serangan terhadap ahli keluarganya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya, SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam memo dalaman yang terbocor berikrar bahawa beliau lebih rela meletakkan jawatan daripada mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawainya yang hanya menjalankan kewajipan mereka di bawah undang-undang.

Tiada ulasan: